Charlie Hebdo kembali cetus kontroversi

Kesemua mayat tentera Perancis yang terkorban itu akan dihantar pulang hari ini.
Kesemua mayat tentera Perancis yang terkorban itu akan dihantar pulang hari ini.
A
A
A

PARIS - Majalah satira di Perancis, Charlie Hebdo sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas ia menerbitkan karikatur tentang nahas helikopter tentera di Mali sehari sebelum upacara pengebumian 13 tentera yang terkorban dalam kejadian itu.

Ketua Turus Tentera, Thierry Burkhard turut menyuarakan kemarahan beliau, namun Editor Charlie Hebdo, Laurent 'Riss' Sourisseau mempertahankan 'semangat satira' majalah itu walaupun mereka sememangnya berpendirian anti tentera.

Salah satu daripada lima karikatur yang dipaparkan menerusi laman web Charlie Hebdo, semalam menunjukkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron berdiri di hadapan keranda yang ditutup dengan bendera kebangsaan dengan kapsyen menggunakan slogan yang digunakan tentera dalam kempen untuk merekrut anggota baharu 'Saya menyertai tentera untuk jadi individu luar biasa'.

Kesemua tentera yang terkorban itu berkhidmat dengan misi Barkhane untuk membantu pasukan keselamatan tempatan di Sahel di Afrika memerangi kumpulan militan di wilayah tersebut.

Ketika kejadian itu, dua helikopter tentera dilaporkan bertembung sebelum terhempas ketika operasi di Mali.

Kesemua mayat mereka akan dihantar pulang pada tengah hari Isnin dan satu upacara yang akan turut dihadiri Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita.

Sebelum ini, Charlie Hebdo pernah mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa selepas ia menerbitkan karikatur Nabi Muhammad.

Pada Januari 2015, dua lelaki bersenjata mengaku taat setia dengan al-Qaeda melancarkan serangan ke atas ibu pejabat Charlie Hebdo dan menyebabkan 12 termasuk kartunis mereka terbunuh. - AFP

Artikel Berkaitan: