X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Ketua Polis Perlis diugut komunis

Ali ketika ditemuramah dengan Sinar Harian. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR – Penderitaan, kesedihan dan trauma yang mendalam masih dirasai oleh rakyat, veteran tentera dan polis akibat kekejaman komunis ketika zaman darurat antara tahun 1948-1960.

Selagai hayat dikandung badan, perajurit tanah air tidak akan melupakan peristiwa menyayat hati itu dalam perjuangan mereka.

Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Ali Hanafiah berkongsi kisah duka ketika bertugas pada zaman itu dan beliau pernah diugut komunis ketika bertugas sebagai Ketua Polis di Daerah Kroh (Pengkalan Hulu, Kedah) pada 1985.

Ali berkata, beliau mengetahui gerakan komunis melalui pita rakaman yang menunjukkan latihan dan aktiviti mereka pada ketika itu

"Saya tidak boleh menceritakan ugutan itu kepada isteri dan empat anak. Saya menangis dan terpaksa 'menelan' ancaman itu. Anak ketiga yang berusia 12 tahun terpaksa dipindahkan ke asrama di sebuah sekolah di Alor Setar, Kedah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, Polis Kuala Lumpur, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, keluarga mempersoalkan tindakan itu tetapi beliau tidak boleh memaklumkan bahawa mereka kini sedang menghadapi ancaman komunis

Ali mula berkhidmat dalam pasukan polis pada 1669 kemudian terlibat dalam beberapa siri operasi di selatan Thailand, Sabah dan Sarawak.

“Saya kemudian menjadi pegawai penyiasat serta pegawai pendakwa di Terengganu pada 1976. Tiga tahun kemudian dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memikul tugas sebagai Pegawai Turus Pendakwaan Dan Undang-Undang,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu turut dikongsi bersama pelatih polis ketika menjadi tenaga pengajar serta pensyarah undang-undang dan Ketua Tadbir dan Istiadat di Pulapol supaya mereka dapat menabur jasa kepada negara.

Ali berkata, beliau pernah menyertai kursus latihan komando selama setahun lapan bulan di Bandung dan Jakarta, Indonesia, selepas kejadian menerima ancaman daripada komunis.

“Selepas itu, saya pulang ke tanah air untuk bertugas sebagai Komanden di sebuah sekolah latihan di Ulu Kinta, Perak. Saya pernah mengetuai kontinjen Malaysia ke Bosnia and Herzegovina pada 1997 dan ketika itu saya melatih pegawai di sana untuk menangkap beberapa pemimpin Serbia,” katanya.

Pengalaman dan pengetahuan luas Ali juga menjadi faktor beliau terlibat menangani reformasi di ibu kota pada 1998 dan Ops Pasir bagi menjaga keselamatan Sabah daripada ancaman lanun antarabangsa.

Ali juga berkongsi kisah sedih beliau apabila rakannya Sharip Ali meninggal dunia ketika bertempur dengan komunis.

Katanya, Sharip memaklumkan rakan pasukannya terserempak dengan komunis pada hari pertama memasuki hutan di belakang kem latihan Ulu Kinta.

“Kejadian berbalas tembakan berlaku, empat orang rakan saya telah meninggal dalam pertempuran itu,” katanya.

Sharip mula berkhidmat sejak 1975, beliau memaklumkan mendapat latihan asas di Pulapol Kuala Lumpur selama tiga bulan.

“Saya kemudian dihantar ke Ulu Kinta untuk menerima latihan sebagai polis hutan dan seterusnya

terlibat dalam Op Setia 8 dalam usaha menentang komunis,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim bergambar kenangan bersama penerima pingat Jasa Pahlawan Negara selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian AHID IZZANI
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim bergambar kenangan bersama penerima pingat Jasa Pahlawan Negara selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian AHID IZZANI

Ketua Penerangan dan Perhubungan Persatuan Bekas Polis Malaysia Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Baharudin Abu pula berkata, beliau menyertai pasukan polis kerana mahu mengikut jejak langkah bapanya yang juga seorang anggota polis.

‘’Saya pernah berkhidmat pada zaman darurat. Ketika itu banyak dugaan dan perasaan takut apabila mendengar kekejaman komunis namun tidak melemahkan semangat saya untuk menabur bakti kepada negara,” katanya yang berkhidmat sejak 1987 hingga 1996.

“Saya pernah berkhidmat di Pusat Gerakan Am (PGA) dan terlibat merekrut anggota PGA. Mereka perlu masuk hutan untuk belajar taktik bertempur dalam hutan,” katanya.

Beliau berharap anggota Polis Diraja Malaysia yang baru berkhidmat sentiasa bekerja dengan ikhlas.

“Bekerjalah untuk negara kerana itu satu ibadah. Walaupun kami sudah bersara semangat jati diri itu masih ada sehingga hari ini,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 332 penerima pingat yang terdiri daripada 207 Pegawai Kanan/Pegawai Rendah Polis Kuala Lumpur yang masih berkhidmat dan 125 pesara polis menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.

“Pingat ini dianugerahkan kepada petugas polis bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960.

“Era Insurgensi komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di Malaysia, bagi Sabah Sarawak pada1962 hingga 17 Oktober 1990 yang diikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus