TNB santuni 300 gelandangan

Amir Hamzah (kanan) menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan yang menumpang teduh di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang.
Amir Hamzah (kanan) menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan yang menumpang teduh di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 300 gelandangan pelbagai kaum di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini menerima sumbangan makanan dan barangan keperluan asas daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelmarin.

Program Menyantuni Gelandangan itu merupakan inisiatif baharu yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) TNB dan Kelab Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya sebelum ini melaksanakan pelbagai program untuk golongan kurang bernasib baik termasuk bantuan kos pendidikan, peralatan persekolahan, pemberian makanan serta menyedia dan membaiki kediaman.

“Hari ini (kelmarin), seramai 300 gelandangan ini terdiri daripada pelbagai kaum di Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang, menerima bantuan pek makanan, barangan kelengkapan seperti botol air, bekas makanan, beg galas, wang saku dan perkhidmatan menggunting rambut.

“TNB juga memperluaskan lagi perkongsian kemakmuran dengan meliputi golongan gelandangan pula di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Kota Bahru, baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada majlis itu, TNB turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada YKN, selaku pentadbir Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur bagi operasi pusat berkenaan.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datin Che Asmah Ibrahim; Ketua Pegawai Usaha Niaga TNB merangkap Presiden PKPI, Datuk Nor Azman Mufti serta Naib Presiden PKPI TNB, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid dan Sobri Shafie.

Artikel Berkaitan:

Amir Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan replikan sumbangan TNB kepada kepada Che Asmah (dua dari kanan) dengan disaksikan Nor Hisham (tengah).
Amir Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan replikan sumbangan TNB kepada kepada Che Asmah (dua dari kanan) dengan disaksikan Nor Hisham (tengah).