KPM nafi terima tekanan dalam proses tender sekolah

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan menerima tekanan daripada Pejabat Menteri Pendidikan atau daripada mana-mana pihak berhubung pemberian tender di sekolah.

Mesej yang ditularkan menerusi media sosial itu mendakwa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mengarahkan pembatalan tender bernilai RM2.5 bilion yang merangkumi lebih 1,300 tender di seluruh negara.

Berikut adalah kenyataan penuh KPM berhubung pelaksanaan perolehan bekalan dan perkhidmatan bagi tender makanan, kebersihan dan keselamatan di kementerian tersebut.

KPM telah mengguna pakai sistem ePerolehan (eP) sepenuhnya dalam melaksanakan perolehan bekalan dan perkhidmatan bukan perunding bermula bulan Julai 2018.

Pada awal tahun 2019, KPM telah melaksanakan perolehan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) serta Bekalan Makanan Bermasak (BMB) bagi kontrak bermula Jun dan Julai 2019 dan yang terkini KPM sedang melaksanakan perolehan bagi ketiga-tiga perkhidmatan ini untuk kontrak bermula 1 Januari 2020.

Pelaksanaan tender bagi kontrak bermula 1 Januari 2020 mengandungi 1,652 tender perkhidmatan merangkumi 858 tender PKK, 401 tender KBK serta 393 BMB.

Semakan rekod terdapat melebihi 275,000 petender telah menyertai tender-tender berkenaan secara atas talian.

Kesemua tender sedang dalam peringkat akhir proses perolehan dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Lembaga Perolehan KPM yang dipengerusikan oleh ketiga-tiga Timbalan Ketua Setiausaha KPM, yang telah diturunkan kuasa oleh Ketua Setiausaha sepertimana amalan sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

KPM cakna dengan dakwaan berhubung penyata bank palsu yang dikemukakan oleh petender ketika menyertai tender bagi kontrak bermula 1 Januari 2019.

Justeru, KPM telah melancarkan gerak kerja bagi menyemak penyata bank semua kontraktor yang berjaya dan didapati sebahagian kontraktor BMB telah mengemukakan penyata bank palsu.

Kontrak perkhidmatan kontraktor yang terlibat telah ditamatkan, serta laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan kes ini disiasat dengan lebih lanjut.

KPM menghadapi kesukaran untuk membuat pengesahan kesahihan penyata bank dengan pihak bank berikutan jumlah petender yang terlalu banyak.

Oleh itu, tempoh masa diperlukan bagi menentusahkan akaun petender dengan pihak bank yang berkenaan.

KPM juga memerlukan masa untuk memastikan pemilik syarikat yang melepas isyarat-syarat teknikal bukan dari kalangan pemilik yang syarikatnya telah disenaraihitamkan atau bermasalah.

KPM juga perlu memastikan tidak ada kelebihan diperoleh oleh petender yang melanggar integriti proses perolehan dalam apa bentuk sekalipun.

Faktor tempoh masa amat penting untuk meneliti perkara ini secara lebih mendalam dan dibersihkan menerusi satu mekanisme pemutihan kesahihan petender yang sedang diusahakan.

KPM mahu memberi peringatan yang jelas bahawa KPM tidak akan bertolak ansur dalam memastikan tiada sesiapa yang boleh memanipulasi proses perolehan.

Oleh kerana proses pemutihan akan mengambil masa, kontraktor sedia ada BMB akan dibenarkan untuk terus beroperasi sehingga kontraktor baharu benar-benar dapat disahkan layak dan bebas daripada unsur-unsur tidak berintegriti.

Pelantikan kontraktor sedia ada dalam meneruskan perkhidmatan akan dibuat berdasarkan prosedur dan tatacara perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.

KPM seterusnya ingin menyatakan bahawa tender PKK dan KBK akan diteruskan seperti yang dirancang memandangkan syarat-syarat teknikal yang terperinci telah dikuatkuasakan kepada kedua-dua tender perkhidmatan ini.

Kementerian ini akan terus komited dalam memastikan perolehan dilaksanakan secara telus dan saksama.

Adalah tidak benar sama sekali ada tekanan daripada Pejabat Menteri Pendidikan, mahupun pihak-pihak lain dalam pelaksanaan perolehan ini seperti yang ditularkan.

KPM sebulat hati ingin memastikan integriti proses perolehan sentiasa dipelihara dan ditambah baik.