MPP pecat Zakaria, Ismail selepas syor SPRM

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan memecat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zakaria Abdul Hamid dan Ahli PKR Pahang, Ismail Dulhani dibuat selepas mempertimbangkan fakta dan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan siasatan berkenaan, MPP bersetuju dengan cadangan lembaga disiplin untuk memecat dua individu terbabit.

Katanya, siasatan SPRM dibuat selepas menerima laporan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syukri Razab mendakwa kedua individu berkenaan mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua ranting Keadilan Cabang Bera.

“SPRM mendapati bahawa Zakaria memberitahu berkenaan peruntukan RM300,000 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan meminta setiap ketua ranting menyediakan kertas kerja bagi projek kecil bernilai RM20,000 selain mengambil keuntungan RM2,000 ke RM3,000 bagi setiap projek.

“Ismail pula didapati menyerahkan senarai nama kontraktor yang terdiri daripada mereka yang hadir itu kepada Majlis Daerah Bera.

“Apabila disiasat SPRM, pegawai Majlis Daerah Bera mengakui senarai yang dikemukakan Ismail mempengaruhi dirinya sewaktu membuat pilihan kontraktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, SPRM mendapati tindakan Zakaria adalah satu kesalahan.

“Selepas mengambil kira kepentingan awam, Timbalan Pendakwa Raya SPRM telah memperakukan agar tindakan tatatertib diambil parti terhadap kedua-dua individu tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua fakta ini disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kassim kepada Majlis Pimpinan Pusat pada 24 November lalu, dengan cadangan tindakan tatatertib iaitu dua anggota tersebut dipecat,” katanya.

Tegasnya, PKR mengulangi kesungguhan parti menolak sepenuhnya amalan rasuah, seiring komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin menzahirkan Malaysia bersih dan bebas rasuah.