Pesara rugi RM49,000 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara terpaksa menanggung kerugian RM49,008 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada 21 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 61 tahun melihat iklan pinjaman wang yang ditawarkan sebuah syarikat di Facebooknya.

Warga emas itu kemudiannya membuat pinjaman sebanyak RM100,000 bagi menyelesaikan hutang, bayaran kad kredit dan perbelanjaan harian.

"Selepas perbincangan dengan wakil syarikat itu mangsa diminta memasukkan sejumlah wang bagi menguruskan pinjamannya.

"Mangsa kemudian memasukkan wang RM49,000 ke dalam akuan CIMB pada 26 November lalu bagi tujuan pembayaran yuran peguam, buka fail, insurans pinjaman, upah 'runner' peguam, wang bayaran balik tersalah tulis jumlah bayaran dan pembayaran kemampuan bayaran pinjaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas memasukkan kesemua bayaran tersebut mangsa mendapati wang pinjaman masih belum diterima.

"Mangsa mula menyedari ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan anggota sindiket itu ialah dengan menawarkan pinjaman yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa masukkan wang ke dalam akaun tertentu.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.