X

Kindly register in order to view this article
!

PTPTN akan perkenal modul baharu

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (tengah) bergambar bersama penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Disember 2019 di Kolej Komuniti Arau hari ini.
A
A

ARAU - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memperkenalkan modul baharu dalam tempoh masa terdekat bagi menggantikan modul lama yang dilihat tidak bersifat mapan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengkaji semula bagi melahirkan modul baharu yang lebih baik.

"Penggantian modul baharu akan membuka lembaran baru kerana modul lama agak sukar difahami dari segi logik.

"Modul lama adalah kita pinjam dari bank dengan kadar tinggi, kemudian kita bagi pinjaman kepada pelajar dengan kadar rendah dan semua pelajar seolah-olah digalakkan untuk berhutang," katanya selepas majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Disember 2019 di Kolej Komuniti Arau, hari ini.

Tambah Wan Saiful, secara peribadi beliau berpendapat modul lama ini sebagai tidak bertanggungjawab kerana turut menyebabkan jumlah hutang negara meningkat.

Pada 29 Oktober lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan akan mewujudkan satu jawatankuasa bagi meneliti model baharu menggantikan PTPTN yang bermasalah.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata, PTPTN akan terus menerima peruntukan walaupun tidak dinyatakan secara spesifik dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober lalu.

“Kebanyakannya salah faham kerana bukan semua peruntukan disebut, sedangkan peruntukan untuk kita sebenarnya ada.

“Anggaran perbelanjaan tahunan PTPTN akan meningkat pada tahun hadapan kepada RM12 bilion berbanding RM9.7 bilion sahaja pada tahun ini.

“Manfaat dan kemudahan akan tetap terus ditawarkan kepada peminjam antaranya insentif geran sepadan dan pelepasan cukai sebanyak RM8,000 bagi individu yang menabung menerusi PTPTN,” katanya.