X

Kindly register in order to view this article
!

11 PPS ditutup di Terengganu

Keadaan rumah dinaiki air di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 11 buah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup di Terengganu menjadikan jumlah yang tinggal sebanyak 29 buah PPS selepas keadaan banjir di beberapa kawasan di negeri ini beransur pulih sehingga jam 6.30 petang tadi.

Jumlah mangsa banjir juga berkurangan kepada 1,775 mangsa daripada 491 keluarga berbanding 2,296 orang daripada 648 keluarga yang ditempatkan di 40 PPS sehingga jam 7 pagi tadi.

Daerah Besut yang merupakan daerah terawal dilanda banjir kini mencatatkan bilangan mangsa seramai 1,094 daripada 273 keluarga yang ditempatkan di 19 buah PPS di daerah itu berbanding seramai 1,110 mangsa daripada 279 keluarga sebelum ini.

Setakat ini, daerah Setiu pula menyaksikan lebih ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah setelah lima pusat pemindahan di situ ditutup menjadikan jumlah mangsa yang tinggal seramai 190 daripada 56 buah keluarga berbanding seramai 553 mangsa dari 189 keluarga yang ditempatkan di 10 buah PPS itu pagi tadi.

Bagi daerah Dungun pula, mangsa banjir berkurangan kepada 268 mangsa berbanding seramai 483 mangsa ditempatkan di empat buah pusat pemindahan sementara di daerah itu sebelum ini.

Daerah Hulu Terengganu pula menunjukkan peningkatan kepada 223 mangsa berbanding 112 mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan yang dibuka sejak malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, penduduk di kawasan yang berisiko dinaiki air diminta terus berjaga-jaga dan mematuhi arahan sekiranya diminta berpindah ke kawasan selamat yang disediakan di PPS.

"Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

"Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi SuperintendAn Mohd Adli Mat Daud menasihati semua pihak supaya lebih berwaspada terutama kanak-kanak agar tidak bermain di kawasan banjir.

"Semua ibu bapa perlu pastikan anak-anak mereka berada di kawasan yang selamat dan tidak bermain air banjir kerana kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku.

"Semua pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan papan tanda yang dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my sehingga jam 6.30 petang ini melaporkan hanya sebatang sungai melebihi paras berbahaya iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun yang merekodkan bacaan 22.03meter (m) manakala paras air bagi jambatan Permaisuri, Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan melebihi tahap amaran dan lain-lain sungai berada di tahap waspada.

Semalam, portal ini melaporkan paras air di lima sungai di negeri ini telah melebihi paras merbahaya melibatkan Sungai Besut di Kampung La (23.63m), Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.57m), Sungai Dungun di Kuala Jengai (22.41m), Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu (24.65m) dan aras air di jambatan Permaisuri, Setiu (8.97m).