UMNO pinda perlembagaan pada PAU 2019

Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) akan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember 2019. - Foto 123RF
Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) akan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember 2019. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) bakal menyaksikan beberapa pembaharuan termasuk meminda perlembagaan pada perhimpunan yang berlangsung pada 4 hingga 7 Disember 2019.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perwakilan akan membincangkan isu berhubung pindaan perlembagaan agar UMNO dilihat lebih hebat dan memenuhi apa yang rakyat inginkan termasuk kedudukan UMNO di Sabah.

"Pelbagai program dilakukan oleh sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sepanjang PAU 2019.

"Penerangan UMNO Malaysia sendiri akan mengadakan pelbagai aktiviti selain pameran seperti melancarkan Laman Web Rasmi UMNO Malaysia termasuk Diskusi Rakyat pada 6 Disember ini, selain wacana dengan tajuk 'UMNO Sebuah Perjuangan.'

"Secara keseluruhannya, PAU 2019 kali ini dilaksanakan dalam keadaan yang berbeza berbanding perhimpunan yang dibuat selepas PRU14 lalu. Maka di PAU 2019 akan terus membina kekuatan kerana UMNO mesti menjadi kerajaan semula di peringkat Persekutuan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, UMNO bakal melancarkan Projek Penulisan ensiklopedia UMNO bertujuan untuk mengumpulkan sejarah perjuangan dan sumbangan UMNO kepada pada rakyat dan negara.

Menurutnya, pelancaran ensiklopedia itu yang akan disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal menjadi dokumen penting sebagai bahan rujukan mengenai UMNO pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi penulisan ensiklopedia ini diharap akan menjadi dokumen atau bahan rujukan penting mengenai UMNO oleh sesiapa sahaja, bukan hanya untuk ahli parti tetapi rakyat secara keseluruhannya," katanya.