Kaji semula cadangan pinda perlembagaan babit kewarganegaraan - Shahrizat

Shahrizat Abdul Jalil
Shahrizat Abdul Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan meminda perlembagaan berkenaan kewarganegaraan perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kemaslahatan kanak-kanak dianggap terpinggir atau terbuang.

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (Hawa), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya menilai semula cadangan pindaan tersebut.

Menurutnya, perkara itu bagi mengangkat prinsip keadilan selain ihsan yang menjadi matlamat asal gesaan pindaan peruntukan mengenai kewarganegaraan kanak-kanak berkenaan.

"Saya telah terbaca beberapa kenyataan dibuat oleh pemegang-pemegang taruh yang telah berbincang dengan kerajaan beberapa hari lepas bahawa kerajaan berkemungkinan mencadangkan pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b) yang menyatakan 'tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini.

"Saya amat bimbang jika cadangan itu diteruskan tanpa mempertimbangkan implikasi keseluruhan penghapusan peruntukan 1(e ) tersebut kerana ia terpakai kepada kanak-kanak yang telah ditemui dan dianggap terpinggir atau terbuang.

"Peruntukan itu bukan sahaja memastikan bahawa kumpulan kanak-kanak ini dapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal tetapi ia juga adalah satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak tidak bersalah selain tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Shahrizat menambah, sekiranya kumpulan kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan maka implikasi kemudaratan lebih besar boleh timbul.

Beliau berkata, antaranya penafian hak asasi manusia ke atas mereka yang tidak mencerminkan ihsan, masalah pekerjaan dan penjanaan pendapatan kerana terhalang dengan limitasi pendidikan.

"Selain itu, masalah sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat timbul dari kekecewaan serta persekitaran kanak-kanak ini semasa membesar," ulasnya.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, pengalaman sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tempoh lama telah mengajarnya bahawa menghapuskan perlindungan sedia ada terhadap kanak-kanak yang terpinggir dan terbuang ini hanya akan mewujudkan pelbagai keperluan baharu.

Tambahnya, pada masa yang sama menggandakan lagi cabaran asas dihadapi pihak bertanggungjawab untuk mengurangkan jurang ketidakadilan dalam kelas masyarakat.

"Dalam Islam, kita percaya anak dikurniakan ALLAH SWT sebagai amanah yang wajib dijaga. Apabila ibu bapa tidak dapat menjalankan amanah itu maka negara ini berkewajipan untuk memikul tanggungjawab terhadap anak tersebut.

"Kewajipan ini dimeterai dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Hak Kanak-Kanak, yang mana Malaysia salah satu negara telah menandatanganinya," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!