AAOIFI, Salihin Shariah meterai kerjasama pendidikan kewangan

No Image Caption
A
A
A

PERTUBUHAN Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) yang berpangkalan di Bahrain menandatangani perjanjian kerjasama dengan Salihin Shariah Advisory (Kuala Lumpur) untuk memperkukuh pendidikan kewangan Islam di Malaysia.

Kerjasama ini akan menyaksikan Salihin Shariah Advisory menjadi rakan kongsi pendidikan AAOIFI untuk mempromosikan program felow profesionalnya, termasuk Akauntan Profesional Islam Bertauliah (CIPA) serta program Penasihat dan Juruaudit Syariah Bertauliah.

Pemangku Setiausaha Agung AAOIFI, Omar Mustafa Ansari berkata, menerusi perjanjian itu, pembangunan industri modal insan akan dipertingkat di samping menyediakan kemahiran teknikal khususnya dalam perakaunan Islam melalui program CIPA kepada individu.

“Kami berterima kasih kepada Salihin Shariah Advisory atas sokongan dan kerjasama mereka dengan AAOIFI untuk mempromosikan program profesional ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Salihin Shariah Advisory, Prof Dr Ahcene Lahsasna berkata kerjasama itu akan memberi sumbangan besar kepada peningkatan kualiti pendidikan kewangan Islam di Malaysia.

“Skop kelayakan profesional AAOIFI meliputi perakaunan Islam, pengauditan syariah dan penasihat syariah.

“Sijil profesional ini akan melengkapkan program dan sijil profesional sedia ada yang ditawarkan di Malaysia,” katanya.

AAOIFI merupakan organisasi antarabangsa terkemuka yang bukan bermotifkan keuntungan dan bertanggungjawab terutamanya untuk pembangunan dan pengeluaran piawaian industri kewangan Islam global.

Artikel Berkaitan:

Ia telah mengeluarkan lebih 100 piawaian dalam bidang syariah, perakaunan, pengauditan, etika dan tadbir urus untuk kewangan Islam antarabangsa.

Salihin Shariah Advisory merupakan penasihat syariah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti, menyediakan khidmat nasihat bagi semua produk dan perkhidmatan berasaskan syariah yang dikawal selia oleh suruhanjaya itu, selain berkelayakan untuk dilantik sebagai penasihat syariah korporat. - Bernama