Peruntukan RM21 juta atasi masalah bekalan air bersih di Raub

Tengku Zulpuri Shah (tengah) bersama Yu Hui (kiri) pada sidang media di pejabat JPS Raub di sini hari ini.
Tengku Zulpuri Shah (tengah) bersama Yu Hui (kiri) pada sidang media di pejabat JPS Raub di sini hari ini.
A
A
A

RAUB - Lebih 27,000 pemegang akaun di daerah ini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM21 juta bagi mengatasi masalah bekalan air.

Berita gembira itu diumumkan Timbalan Menteri Air,Tanah dan Sumber Asli,Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di sini hari ini berikutan krisis yang meresahkan penduduk di Raub sejak lebih lima tahun lalu.

Menurutnya, kementerian meluluskan dua projek iaitu projek kerja-kerja segera bagi mengatasi masalah kekeruhan tinggi dan cadangan penambahbaikan bekalan air di daerah tersebut.

"Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi tahun 2020 untuk cadangan penambahbaikan bekalan air di daerah ini bagi penyediaan pam dan tangki statik untuk penduduk di kawasan tinggi yang berdepan masalah tekanan air rendah.

"Sebanyak lapan kawasan telah dikenalpasti iaitu di Taman Bukit Koman,Taman Lee Man dan Raub Utama,Kampung Ulu Atok,Taman Sungai Chalit dan Taman Kurnia Jaya.Kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan secara pakej bermula Januari 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Jabatan dan Saliran (JPS) Raub selepas mempengerusikan mesyuarat khas sempena isu perkhidmatan bekalan air daerah terbabit bersama jabatan dan agensi terlibat hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui.

Ujarnya lagi, sebanyak RM18 juta pula telah diluluskan secara pinjaman bagi mengatasi masalah kekeruhan air mentah melibatkan pelaksanaan tiga buah loji rawatan air (LRA) di Sungai Bilut,Sungai Semantan dan Sungai Klau yang dijangka dapat dimulakan pada Ogos 2020 dan dapat disiapkan pada Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

"Ini salah satu penyelesaian jangka panjang kerana seperti yang diketahui apabila hujan lebat, kekeruhan air di sungai-sungai akan meningkat," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Raub.

Menurutnya, buat masa ini LRA yang terlibat hanya mampu memproses tahap kekeruhan air sehingga 1,000 nephelometric turbidiy unit (NTU) manakala apabila hujan lebat tahap kekeruhan boleh mencapai melebihi 10,000 NTU.

"Kita berharap melalui pelaksanaan projek-projek ini masalah bekalan air di daerah ini dapat dikurangkan.

"Kita juga berharap penduduk di Raub dapat memberikan masa untuk mengatasi masalah ini selain mengharapkan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Raub dapat memantau tong-tong yang disediakan supaya ia tidak disalahgunakan.

"Buat masa ini sebanyak 60 tong statik dengan kapasiti 400 gelen setiap satu telah diagihkan dan kita telah menempah 80 lagi tong yang akan diagihkan secara berperingkat dalam tempoh terdekat," ujarnya.