Urusan bawa abu Chin Peng tidak melalui kerajaan Perak: MB

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak mengetahui mengenai urusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negeri itu pada 16 September lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, urusan berkenaan tidak melalui kerajaan negeri malah tiada sebarang makluman diterima sehinggalah ia tersebar menerusi sidang media oleh sebuah kumpulan, Selasa lepas.

"Saya juga tidak tahu mengenai perkara ini kerana tidak melalui kerajaan negeri, hanya disebut oleh sebuah kumpulan.

"Bagi saya tidak perlu kita bincangkan perkara itu dan sebaiknya serah kepada polis yang telah pun menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti dua individu yang terbabit dalam urusan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia.

Kedua-dua individu itu telah dipanggil untuk memberi keterangan namun tidak mendedahkan sama ada mereka hadir atau belum.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua individu bawa pulang abu Chin Peng dikenal pasti: KPN

Akhbar berbahasa Cina semalam melaporkan, penyelaras kumpulan yang menguruskan proses bawa pulang abu mayat Chin Peng, Chai Kan Fook, 81, telah dipanggil memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 10 pagi sebelum beredar satu jam selepas itu.

Abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilaporkan dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tidak pernah benar abu mayat dibawa pulang