'Tarik balik surat pelucutan jawatan Pengerusi Tetap AMK, timbalan'

Laporan akhbar Sinar Harian hari ini berkaitan kontroversi terbaharu membabitkan sayap kanan PKR itu.
Laporan akhbar Sinar Harian hari ini berkaitan kontroversi terbaharu membabitkan sayap kanan PKR itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Hilman Idham menggesa supaya kepimpinan parti segera menarik semula surat perlucutan jawatan Pengerusi Tetap AMK, Muhamad Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad kerana ia melanggar perlembagaan parti.

Muhammad Hilman berkata, sebagai orang nombor dua AMK, beliau bertanggungjawab untuk menegaskan bahawa kedua-dua individu itu kekal dengan jawatan masing-masing seperti mana ditetapkan dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 17 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kedua-dua peraturan itu tidak memberikan sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK untuk melucutkan kuasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap dan ini kerana kerana kedua-dua jawatan itu merupakan sebahagian daripada Kongres Nasional yang merupakan kuasa tertinggi parti.

ARTIKEL BERKAITAN: AMK tamatkan jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi Tetap

"Selain itu, surat Setiausaha AMK cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan perlucutan tersebut dengan hanya menyatakan Perkara 5.1 dan 5.3 Peraturan Tetap dan menyembunyikan Perkara 5.2.

"Ini kerana Perkara 5.2 telah memperuntukkan bahawa semua pemegang jawatan dalam AMK adalah kekal walaupun telah melebihi had umur sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan oleh pemegang jawatan yang baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung dakwaan jumlah perwakilan layak mengundi, Muhammad Hilman menjelaskan fakta bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanyalah 270 orang sekali gus telah memperlihatkan kepimpinan MPP AMK adalah lemah dan tidak tersusun.

Katanya, hal ini kerana Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap AMK telah memperuntukkan tujuh orang perwakilan untuk setiap cabang.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ini bermakna kongres hanya dihadiri oleh kurang 39 cabang daripada lebih 178 cabang seluruh negara.

"Apatah lagi semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah disahkan dalam Kongres Nasional 2018 dan wibawa dan integriti jawatankuasa ini harus dipertahankan," ujar beliau.

Krisis kepimpinan PKR memasuki episod baharu apabila jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap AMK ditamatkan menjelang Kongres Kebangsaan PKR.

Perkara itu didedahkan menerusi surat ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak kelmarin dengan mengemukakan alasan penamatan dibuat kerana umur Muhamad Mizan dan Mohd Ramly telah melebihi 35 tahun seperti ditetapkan parti.

Selain itu, surat tersebut menyebut pengiraan pemilihan kedua-dua jawatan dibuat secara manual dan mendapati mereka menerima jumlah undi lebih tinggi daripada jumlah perwakilan yang layak mengundi.