'Kenapa membisu' - Mujahid desak UMNO jawab isu kemurkaan Tuanku Muhriz

SHAH ALAM - UMNO perlu menjelaskan sama ada mengetahui atau merestui tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung surat yang didakwa mempertikai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan hubungan antara Istana dengan pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan, kandungan penuh surat yang didakwa dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja perlu didedahkan bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar.
ARTIKEL BERKAITAN: Go away, I don't want to see you - Tuanku Muhriz
'Pertama kali lihat Tuanku murka depan mata'- Cicit Siamang Gagap
Percubaan turunkan Tuanku Muhriz perlu patuhi kehendak perlembagaan - Badan Peguam
"UMNO selama ini begitu lantang mendakwa dirinya pembela Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.
"Mereka cepat menuduh pihak lain sebagai biadab atau derhaka dalam isu yang direka-reka dan dibesar-besarkan.
"Apabila Menteri Besar daripada UMNO sendiri dikaitkan dengan tindakan yang menyentuh kedudukan seorang Raja Melayu, mengapa pimpinan UMNO membisu?” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu Mujahid turut mempersoalkan sam ada UMNO menyokong pendirian Exco kerajaan negeri yang sebelum ini didakwa mengiktiraf proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menegaskan bahawa Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan atau mengisytiharkan kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Malah ujarnya, Setiausaha Kerajaan Negeri juga enggan mewartakan proklamasi berkenaan kerana dianggap tidak sah dan tidak berperlembagaan.
"Persoalannya, mengapa selepas penjelasan undang-undang masih wujud tindakan atau surat yang boleh ditafsirkan sebagai menafikan kedudukan Tuanku Muhriz?
"Mengapa Ismail berubah daripada menzahirkan sokongan kepada Tuanku Muhriz kepada mengesahkan keputusan Exco yang mempertikaikan kedudukan baginda?" ujarnya.
Sehubungan itu, Mujahid menggesa Ismail mendedahkan dan menarik balik surat itu sekiranya kandungannya benar, memohon ampun kepada baginda serta rakyat Negeri Sembilan.
Pada masa sama, beliau menggesa UMNO mengambil tindakan disiplin tegas terhadap Ismail.
"Jika Ismail tidak mampu memberikan penjelasan yang meyakinkan dan memulihkan hubungan dengan Istana, beliau tidak lagi mempunyai kewibawaan moral untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dan wajar meletakkan jawatan.
"Jawatan Menteri Besar bukan hak milik UMNO. Ia ialah amanah Perlembagaan yang dilaksanakan dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar dan mesti dipertanggungjawabkan kepada rakyat serta Dewan Undangan Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

