Melaka warta kampung orang asli secara berperingkat

Ginie ketika beramah mesra dengan penduduk orang asli di sini, hari ini.
Ginie ketika beramah mesra dengan penduduk orang asli di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Masyarakat orang asli di negeri ini terus mendapat perhatian dan pembelaan daripada kerajaan negeri menerusi langkah mewartakan 14 buah perkampungan orang asli bermula tahun ini.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, daripada jumlah itu, empat berjaya dilaksanakan manakala selebihnya akan dilakukan secara berperingkat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak dapat melakukan secara serentak memandangkan beberapa isu berbangkit untuk merealisasikan proses berkenaan antaranya pertindihan dengan pewartaan hutan simpan selain isu pertukaran tanah yang masih belum selesai.

"Pewartaan tanah perkampungan orang asli penting bagi memastikan penempatan mereka terjamin kerana mereka tidak menggunakan konsep pemilikan tanah seperti masyarakat umum.

"Setakat ini, kerajaan negeri selesai mewartakan tanah atau tapak perkampungan orang asli sebanyak empat kampung iaitu Lubok Bandung di Jasin serta Bukit Payung, Bukit Seraya dan Machap Umboo di Alor Gajah," katanya.

Ginie (dua dari kiri) menyampaikan barangan keperluan dapur ketika program tanggungjawab sosial di Perkampungan Orang Asli Tebong Stesyen, Alor Gajah di sini hari ini.
Ginie (dua dari kiri) menyampaikan barangan keperluan dapur ketika program tanggungjawab sosial di Perkampungan Orang Asli Tebong Stesyen, Alor Gajah di sini hari ini.

Ginie berkata demikian selepas menyempurnakan program tanggungjawab sosial di Perkampungan Orang Asli Tebong Stesyen, Alor Gajah di sini hari ini.

Sementara itu, Ginie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya berkata, kerajaan negeri juga sentiasa menjaga kebajikan masyarakat orang asli dari segi keselamatan dan penyediaan kemudahan asas seperti pembinaan jalan penghubung, lampu jalan selain kemudahan rekreasi dengan pembinaan gelanggang takraw serta pusat-pusat rekreasi lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu, kebersihan dan kesejahteraan perkampungan orang asli diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan masing-masing.

"Saya juga harap masyarakat orang asli juga dapat bersama menekankan aspek kebersihan dan memastikan kawasan persekitaran bersih serta menghindarkan penyakit berjangkit," katanya.