Sasaran hasil bukan cukai Negeri Sembilan realistik: MB

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Sasaran Hasil Bukan Cukai dalam Bajet Negeri Sembilan 2020 bernilai RM242.69 juta adalah realistik dan mengambil kira semua jangkaan hasil yang bakal diperolehi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyediaan Bajet Negeri Sembilan 2020 berpandukan Pekeliling Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia.

“Secara tradisi hasil bukan cukai adalah penyumbang utama dalam kutipan hasil negeri berbanding hasil cukai.

“Rekod sehingga 25 November tahun ini, jumlah hasil bukan cukai yang telah dikutip sebanyak RM251.27 juta berbanding sasaran Bajet 2019 iaitu RM225.1 juta, pencapaian semasa tahun 2019 melepasi sasaran tahun 2020 iaitu RM242.69 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan (2020) 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata, antara sumber hasil bukan cukai adalah seperti premium tanah, permit, pendaftaran lesen, cas air mentah dan jualan bahan bercetak.

Jumaat lalu, Aminuddin membentangkan belanjawan berimbang RM457 juta bagi tahun 2020, meningkat 6.28 peratus atau RM27 juta berbanding RM430 juta pada belanjawan 2019.

Katanya, hasil bukan cukai disasarkan sebanyak RM242.69 juta manakala hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM152.45 juta dan menjangkakan akan memperolehi sebanyak RM61.86 juta bagi terimaan bukan hasil.

Artikel Berkaitan:

Ketika sesi pergulungan itu, Aminuddin turut menjelaskan berhubung isu tanah peneroka Kampung Serampang Indah (Ladang Gatco), Jempol di mana Jumaat ini akan diadakan sesi menandatangani borang (15 A) Pajakan Tanah di bawah Kanun Tanah Negara.

“Sesi ini melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan bersama 170 peserta yang bersetuju dengan penyelesaian dicadangkan kerajaan disaksikan pentadbir tanah.

“Proses penyaksian ini adalah proses yang perlu dipenuhi sebelum hak milik dikeluarkan kepada peserta,” katanya.

Aminuddin berkata, seramai 127 peserta akan menerima pajakan tanah empat ekar manakala 43 peserta lagi akan menerima pajakan tanah dua ekar dengan jumlah keseluruan melibatkan 594 ekar (1.61 hektar)

Persidangan DUN akan disambung pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama