Pertukaran pegawai kanan di Motac bukan kerana bocor rahsia kerajaan

Mohamaddin - Foto Bernama
Mohamaddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertukaran pegawai kanan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tiada kaitan dengan isu politik atau membocorkan maklumat dan rahsia kerajaan, kata Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mohamaddin mahu pertukaran terlibat tidak disalah erti.

Katanya, pertukaran itu adalah amalan biasa berikutan berlaku persaraan dalam perkhidmatan awam.

“Pegawai yang terlibat dengan pertukaran ini bukan diambil tindakan kerana politik, disiplin, dipecat," katanya mengulas laporan sebuah portal berita bahawa MOTAC antara beberapa kementerian di mana pegawai kanannya didakwa membocorkan maklumat kerajaan dan akan terlibat dalam pertukaran.

Bercakap kepada media selepas melancarkan program pensijilan perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di sini hari ini, Mohamaddin berkata, pertukaran dan perpindahan pegawai kanan turut berlaku di kementerian lain.

“Bersara kalau seorang dua mungkin tidak nampak sangat tetapi kalau lebih daripada itu yang dah sampai umur bersara, jadi mereka kena pergi lah dan yang lain tu kena ganti,” katanya.

Mengenai MaTEx, Mohamaddin berkata, program pensijilan perniagaan itu adalah usaha pemain industri dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sebanyak 112 syarikat pelancongan pengembaraan, pengendali produk dan tapak, pengurusan acara, agensi pelancongan, dan tempat acara telah mendapat pensijilan daripada MaTEx, satu program pensijilan peringkat industri bagi produk dan perkhidmatan pelancongan, pada majlis hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: