'Dewan Rakyat sejuk, tak boleh duduk lama'

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan mudah untuk Ahli Parlimen duduk lama dalam Dewan Rakyat kerana kadangkala keadaan di dalamnya agak sejuk.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, isu kekurangan ahli Parlimen juga berlaku di seluruh dunia bukan di Malaysia sahaja.

“Selalunya jumlah kita (Ahli Parlimen dari kerajaan) cukup tapi kadangkala...bila anda menjadi Ahli Parlimen, anda akan faham.

“Bukan mudah untuk kami duduk lama-lama sebab kadang-kadang sejuk duduk di dalam Dewan Rakyat. Saya rasa ini perkara normal (tidak cukup kuorum).

“Saya fikir di negara lain pun, anda tidak boleh harapkan ahli Parlimen akan kekal setiap masa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, keadaan tersebut juga berlaku semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Itu sebab kita ada loceng yang digunakan Speaker untuk panggil wakil rakyat. Pada saya, ia hanyalah isu kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekurangan jumlah ahli Parlimen dari kerajaan dalam Sidang Dewan Rakyat malam semalam.

Artikel Berkaitan:

Jumlah yang sedikit itu hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian, apabila Speaker mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Pembangkang kemudian meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua namun keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan berbanding 28 tidak bersetuju.

ARTIKEL BERKAITAN Letih punca jumlah kehadiran MP kerajaan sedikit