56,884 rakyat Terengganu dalam senarai e-Kasih

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 56,884 rakyat Terengganu masih tersenarai dalam data e-Kasih berdasarkan rekod yang dikeluarkan sehingga 31 Oktober lalu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah paling ramai iaitu seramai 12,008 orang.

Menurutnya, daerah Besut mencatatkan jumlah 9,844 orang diikuti Marang (7,142), Kuala Nerus (7,081), Dungun (6,000), Kemaman (5,040), Setiu (4,925) dan Hulu Terengganu seramai 4,844 orang.

“Berdasarkan data yang dijana menerusi sistem e-Kasih, bilangan rakyat berstatus miskin pula seramai 5,547 orang.

"Pendapatan isi rumah yang tergolong dalam istilah rakyat miskin adalah di bawah RM1,036,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) mengenai jumlah terkini rakyat Terengganu termasuk dalam senarai e-Kasih.

Hanafiah berkata, kerajaan negeri komited membantu menyelesaikan isu kemiskinan di Terengganu dengan melaksanakan pelbagai program bantuan seperti Program Perumahan TerengganuKu Sejahtera (PPTS).

Selain PPTS katanya, kerajaan turut laksanakan program bantuan persekolahan, skim bantuan utama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan bantuan-bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

“Kita juga laksanakan bantuan bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan yang berpendapatan rendah sejak akhir tahun lalu dan sehingga kini ia memberi manfaat kepada 10,005 akaun.

“Program ini adalah memberi bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah iaitu kepada senarai pemilik rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin), miskin dan miskin tegar e-Kasih dan penerima bantuan Maidam,” katanya.