PKS perlu berani terima IR4.0 untuk lebih kompetitif

Mohd Redzuan (kiri) mendengar penerangan daripada Pengurus Jualan Lenovo, Lee Kai Lun (kanan) semasa Forum CEO PKS 2019 hari ini. - Foto Bernama
Mohd Redzuan (kiri) mendengar penerangan daripada Pengurus Jualan Lenovo, Lee Kai Lun (kanan) semasa Forum CEO PKS 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diseru agar lebih berani untuk menerima pakai teknologi Revolusi Perindustrian (IR 4.0) bagi meningkatkan produktiviti serta mengekalkan daya saing.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, PKS Malaysia masih perlahan untuk menerima IR 4.0 dan ini boleh menjejaskan peluang mereka dalam menembusi arena antarabangsa.

"Keengganan mereka akan menyebabkan bukan sahaja mereka terlepas peluang ke arah ekonomi yang berjaya tetapi juga dalam soal membangunkan ekonomi.

"Kita perlu kejutkan mereka atau kecekapan teras yang telah dibangunkan oleh negara kita, terutamanya dalam IR 4.0 seperti teknologi mekatronik, berpindah ke negara lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum CEO PKS 2019 di sini hari ini yang dianjurkan oleh SME Magazine.

Mohd Redzuan berkata, pelaburan langsung asing (FDI) telah menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi yang terkemuka di Asia Tenggara ini dicapai melalui teknologi luar yang dibawa masuk oleh syarikat multinasional.

"Sekadar mempunyai akses kepada pengetahuan, sumber manusia dan teknologi adalah tidak mencukupi kerana usahawan tempatan sekarang ini perlu menjadi peneroka inovasi bagi membangunkan penyelesaian sendiri untuk kekal di hadapan persaingan.

"Kita perlu menerajui tampuk dan menjadi pemimpin dalam hak kita sendiri. Kita perlu menguasai pengetahuan, sumber manusia dan teknologi dalam bidang ini. Kita tidak boleh duduk diam dan menunggu teknologi luar diperkenalkan ke dalam negara kita. Kita sewajarnya perlu mendahului pembangunan IR 4.0.

"Sebagai usahawan, kita mesti berani dan kreatif serta memiliki keterbukaan yang tepat untuk membolehkan kita belajar supaya kekal relevan, mencari peluang bersesuaian dan bersaing secara global," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sekarang ini negara sedang kehilangan daya saingnya kepada Vietnam dan keadaan itu mencerminkan keperluan untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan PKS bagi mengguna pakai teknologi IR 4.0 untuk kekal kompetitif.

Kementeriannya juga akan menggalakkan PKS bagi mempamerkan kemahiran dan kecekapan teras mereka serta meningkatkan tahap penyumberan yang menggunakan teknologi IR 4.0 untuk merangsang FDI terutamanya ke arah membawa masuk pelaburan yang berkualiti.

"Ini juga dapat membantu dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat serta mengurangkan pekerja asing dan tanpa izin yang kini sudah mencecah lima juta orang di Malaysia," katanya. - Bernama