X

Kindly register in order to view this article
!

Pertukaran KSU keputusan biasa: Salahuddin

Laporan Sinar Harian berkaitan kes tender pertanian bernilai RM1.4 bilion sebelum ini. (Gambar kecil: Mohd Sallehhuddin)
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menganggap pertukaran Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah keputusan biasa.

“Saya baca melalui grup WhatsApp, saya baca (notis pertukaran) begitu saja dan tidak ada penafian rasmi berkaitan itu.

“Jadi saya anggap itu satu keputusan biasa di Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau di di pejabat Ketua Pengarah JPA,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya kemungkinan pertukaran itu disebabkan siasatan dalam kementerian atau semata-mata kerana isu tersebut ditularkan, Salahuddin menegaskan beliau tidak boleh mengulas lanjut.

“Itu saya tidak boleh komen sebab saya difahamkan pertukaran yang saya terima, notis itu macam prosedur biasa untuk mana-mana penggiliran berlaku,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tender pertanian RM1.4 bilion bukan skandal, kata Salahuddin

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada siasatan dalaman dijalankan terhadap bekas KSU tersebut yang mungkin boleh dikaitkan dengan pertukaran itu.

“Tiada, saya tidak pernah mengarahkan atau menerima apa-apa arahan,” katanya.

Semalam, bekas KSU kementerian tersebut, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan melalui satu kenyataan memberitahu beliau menerima keputusan dipindahkan ke Jawatan Penempatan Khas JPA yang berkuatkuasa serta-merta.

Beliau juga reda dengan keputusan itu dan menyifatkan ada hikmah di sebalik ketentuan yang ditetapkan Tuhan.

Khabar angin mendakwa pertukaran tersebut ada kaitan dengan kontroversi melibatkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan penggiliran dan pertukaran jawatan adalah di bawah kuasa KSN dan Ketua Pengarah JPA.

“Semalam saya menerima notis daripada Pejabat Perkhidmatan Awam memaklumkan berlaku penggiliran membabitkan empat ke lima individu. Ada yang berpindah kementerian, ada yang saya dimaklumkan memang berlaku penggiliran.

“Saya tidak boleh berikan sebarang ulasan sebab tiada apa-apa yang berlaku di MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani).

“Jadi kalau itu pertukaran atau penggiliran, itu di bawah bidang kuasa KSN dan Ketua Pengarah JPA,” katanya.