Kompleks letak kenderaan bertingkat atasi kesesakan HSNI

Mohd Khuzzan Abu Bakar
Mohd Khuzzan Abu Bakar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembinaan kompleks letak kenderaan bertingkat merupakan langkah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi kesesakan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, langkah tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

"Cadangan tersebut dihantar kepada JKNJ melalui penyediaan master plan HSNI pada pada 15 Julai 2019. Projek ini akan dilaksanakan sekiranya ia tersenarai di bawah projek Rancangan Malaysia Ke-12.

"Pembinaan kompleks letak kereta lapan aras dan penyediaan parkir bawah tanah dua tingkat meliputi sebanyak 600 lot melibatkan keluasan tanah di kawasan hospital sebanyak 14,250 meter persegi dengan anggaran kos projek RM300 juta," katanya.

Khuzzan (PH-Semerah) berkata demikian ketika menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Terdahulu, Khuzzan menjawab soalan Ayub yang meminta penjelasan mengenai langkah segera dan lengkap jangka masa panjang diambil pihak kerajaan bagi mengatasi kesesakan di luar dan dalam kawasan HSNI Batu Pahat bagi menampung jumlah pesakit dan pelawat yang semakin bertambah setiap hari.

Khuzzan berkata, pada tahun 2012, lot parkir kenderaan awam di HSNI bertambah sebanyak 125 lot parkir sebagai langkah jangka masa pendek mengatasi masalah kesesakan di hospital tersebut.

"Ini menjadikan keseluruhan lot parkir kenderaan awam meningkat kepada 307 lot dan 60 lot bagi parkir bermotor berbanding 182 lot parkir kenderaan awam dan 60 lot parkir motor awam yang ada sejak bangunan berkenaan dibina pada tahun 1994," katanya.

Artikel Berkaitan: