Kikis persepsi negatif terhadap TVET: Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar - Foto Bernama
Datuk Mahfuz Omar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persepsi negatif bahawa bidang Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah pilihan kedua bagi pelajar lemah berbanding bidang akademik konvensional perlu dikikis ibu bapa, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, ibu bapa perlu meletak keyakinan dan memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang mengambil TVET kerana bidang ini mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan industri dan negara bagi mengharungi Revolusi Industri 4.0.

“Kerajaan lihat ia (TVET) sebagai keperluan. Mereka yang memiliki diploma dalam kemahiran layak meneruskan pengajian di peringkat ijazah melalui projek Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Langkah ini dilihat dapat memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap TVET,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mahfuz menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) tentang statistik kemasukan pelajar TVET di negara ini yang masih rendah berbanding negara maju seperti Jerman, Belanda dan Australia serta ingin tahu apakah langkah yang diambil kerajaan ke arah memperkasakan bidang itu.

Bagi memperkasakan TVET, Mahfuz berkata, menerusi pelan tindakan 2025 di bawah Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan yang membabitkan enam kementerian, pihaknya turut menumpukan kepada program Tahfiz TVET sebagai langkah pertama meluaskan latihan kemahiran kepada anak muda Tahfiz.

“Kita mahu pastikan anak-anak tahfiz juga mempunyai masa depan untuk memasuki sektor pekerjaan kelak,” katanya.

Jelas Mahfuz, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Majlis Agama Islam Negeri Kedah baru-baru ini yang turut disertai lebih 70 wakil pusat tahfiz di negeri itu bagi membincangkan mengenai perancangan kerajaan ke arah Tahfiz TVET. - Bernama

Artikel Berkaitan: