Isu tanah kampung baru: Hormati keputusan MB Perak

TAJUDDIN (Keratan laporan Sinar Harian semalam.)
TAJUDDIN (Keratan laporan Sinar Harian semalam.)
A
A
A

IPOH - Semua pihak seharusnya menghormati penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubungan pemberian hak milik kekal tanah kepada kampung baru sebelum ini.

Pengerusi Kelab Hulu Perak Kuala Lumpur, Tajuddin Mohd Ali berkata, isu mengenai hak milik kekal tanah merupakan isu sensitif yang tidak harus menjadi polemik dalam kalangan pemimpin parti pemerintah.

Katanya, kerajaan Perak perlu memberi perhatian khusus kepada kawasan luar bandar seperti di daerah Hulu Perak dengan membangunkan tanah-tanah terbiar supaya boleh dimanfaatkan penduduk.

"Dalam isu hak milik kekal ini, kita kena balik semula kepada Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kerana kita tahu bukan sahaja kampung baru, kampung Melayu pun mempunyai masalah yang sama. Tanah-tanah pusaka tidak dipindah milik, tanah tidak dapat diuruskan dengan baik, apa pun statusnya perlu mengikut peraturan dan undang-undang.

"Pada pendapat kami, usaha kerajaan haruslah ditumpukan kepada pembangunan tanah itu untuk meningkatkan pendapatan rakyat kerana ia lebih penting daripada milikan. Apa guna kita dapat milikan sekiranya ia terbiar," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai desakan DAP Perak terhadap kerajaan Perak supaya menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru

Menurutnya, kerajaan Perak disaran memberi tumpuan kepada usaha pembangunan tanah yang lebih mampan dan meningkatkan pendapatan seperti memperkasakan pertanian berteknologi tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau mengharapkan semua parti di dalam kerajaan supaya fokus membantu menteri besar membangunkan negeri dan bukannya mengganggu pentadbiran kerajaan.

Katanya, kerajaan Perak perlu kekal stabil supaya rakyat dapat manfaat hasil pengurusan yang baik serta pembangunan dirancang boleh dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata, sebarang polemik atau campur tangan yang tidak sepatutnya di dalam kerajaan hanya akan menyebabkan rakyat menderita.