JKM Pahang sedia 664 pusat pemindahan banjir

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyediakan 664 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu bagi menghadapi bencana banjir akan datang.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, daripada jumlah itu setiap daerah mempunyai antara 26 hingga 92 pusat pemindahan yang akan dibuka apabila keadaan memerlukan.

Menurutnya, semua pusat pemindahan banjir diuruskan oleh JKM Pahang yang turut mendapat bantuan beberapa agensi lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua kampung dan sukarelawan.

"Kalau ikutkan pusat pemindahan banjir paling banyak akan dibuka ialah di Kuantan iaitu sekitar 92 pusat diikuti Temerloh (87), Pekan (79), Lipis (75), Raub (71), Maran (70), Jerantut (51) Rompin (41), Bentong (40), Bera (32) dan Cameron Highlands (26).

"Kesemua pusat pemindahan bersiap sedia menerima mangsa banjir. JKM beri jaminan untuk berusaha menyediakan yang terbaik kepada mangsa di negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Zulkhairi
Zulkhairi

Beliau berkata, selain dewan orang ramai dan sekolah, turut dijadikan pusat pemindahan banjir ialah balai raya.

Jelasnya, semua kemudahan asas terdapat di tempat berkenaan menjamin keselesaan mangsa terutama golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Zulkhairi berkata, setiap mangsa yang berada di pusat pemindahan akan menerima bantuan makanan termasuk toto, selimut, tikar, tuala mandi dan kit bencana bagi keselesaan mereka.

Katanya, kemudahan lain turut disediakan ialah pemeriksaan kesihatan oleh pegawai kesihatan bagi memastikan mangsa banjir berada dalam keadaan sihat selain khidmat kaunseling oleh pegawai JKM.

"JKM juga sudah menyediakan 118 pangkalan hadapan di negeri ini. Setiap daerah mempunyai antara dua hingga 26 pangkalan hadapan yang menempatkan bekalan makanan yang mampu digunakan antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada lokasi dan jumlah mangsa banjir.

"Jumlah terbanyak pangkalan hadapan terdapat di Temerloh sebanyak 26 diikuti Kuantan (16), Bera (15), Jerantut (13), Pekan (11), Rompin (11) dan Lipis (9)," katanya yang berharap mangsa banjir dapat memberi kerjasama ketika berada di pusat pemindahan.

Beliau turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya mematuhi arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah terutama apabila hujan lebat berterusan.