Lebih 10,000 bekas tentera di Pahang tiada rumah sendiri

Nik Zainorden (tengah) bersama ahli Koveten Pahang selepas majlis pelancaran Koveten cawangan Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading semalam.
Nik Zainorden (tengah) bersama ahli Koveten Pahang selepas majlis pelancaran Koveten cawangan Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading semalam.
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah 50 peratus daripada keseluruhan lebih 20,000 anggota bekas tentera di Pahang masih belum memiliki kediaman sendiri sehingga kini.

Presiden Koperasi Veteran Tentera Malaysia Berhad (Koveten), Datuk Seri Nik Zainorden Nik Mohamad berkata, kebanyakan daripada mereka terpaksa menyewa atau menumpang di rumah keluarga kerana tidak mampu membeli rumah sendiri.

Menurutnya, disebabkan itu, pihak Koveten akan membantu bekas tentera ini mendapat rumah kediaman mereka dengan harga mampu milik.

"Kita akui perkara ini sebab itu kita perjuangan perumahan kepada mereka (ahli Koveten) tapi di Pahang kita masih tiada lagi tanah untuk membina rumah untuk bekas tentera yang berdaftar dengan Koveten.

"Kita akan cuba berjumpa dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan sebidang tanah bagi projek perumahan khususnya kepada mereka.

"Kalau di Sungai Petani, Kedah kita sudah menerima 350 unit rumah siap untuk ditawarkan kepada mereka manakala di Terengganu dan Johor Bahru pula kita sudah ditawarkan tanah untuk pembangunan perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis pelancaran Koveten cawangan Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading semalam.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.

Artikel Berkaitan:

Nik Zainorden berkata, perumahan yang bakal dibangunkan pihaknya berbeza dengan lain kerana koperasi membuat permohonan tanah daripada kerajaan untuk dianugerahkan kepada ahli-ahlinya.

"Justeru syarikat dengan usahasama Koveten akan membangunkan rumah di atas tanah anugerah tersebut dan dijual kepada ahli mengikut modal kos pembangunan tanpa mengambil sebarang keuntungan.

"Selain itu, bekas tentera yang memiliki tanah juga boleh membuat permohonan dengan Koveten untuk membina rumah," katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Koveten, Nik Zainorden berkata, ia bertujuan membantu golongan pesara tentera daripada semua cawangan darat, laut dan udara.

Tambahnya, koperasi ini memfokuskan supaya pesara tentera di semua cawangan disatukan dalam satu bumbung.

"Sebolehnya kita bersatu dalam satu organisasi dan berganding bahu dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh semua pesara tentera,".

"Koperasi yang dibangunkan ini berteraskan pemilikan saham daripada modal serendah RM100 sehingga RM1,000.

"Tujuan kita menghadkan modal RM1,000 sahaja kerana tidak mahu ada individu yang mahu memonopoli koperasi kerana matlamat kita ialah kesamarataan semua ahli," katanya.

Dalam pada itu, Nik Zainorden berkata, Koveten menjalankan perniagaan pembangunan, perladangan, pertanian, pemasaran trading dan juga terlibat dengan syarikat usaha sama seperti syarikat yang membekal dron kepada kerajaan Malaysia.

"Setakat ini, kita sudah berjaya mendapatkan satu projek mega dalam pembangunan yang bernilai RM500 juta di semenanjung Malaysia," katanya.