[VIDEO] Pas belum bertemu dengan Berjasa: Abdul Hadi

Abdul Hadi (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada wakil NGO pelbagai kaum dan agama yang sertai dialog di Hotel Putra di sini hari ini.
Abdul Hadi (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada wakil NGO pelbagai kaum dan agama yang sertai dialog di Hotel Putra di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pas belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) susulan parti itu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau menyerahkan tindakan selanjutnya kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

"Terpulang kepada Setiausaha Agung (Takiyuddin) untuk panggil mesyuarat.

"Setakat ini belum ada pertemuan. Kita dah nasihat jangan bertanding tapi dia (Berjasa) bertanding juga," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Hi Tea dan Dialog Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pelbagai Kaum dan Agama di Hotel Putra di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Pas sudah sudah mengadakan pertemuan dengan Berjasa susulan parti Gagasan Sejahtera itu turut bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai status hubungan antara Pas dan Berjasa selepas ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara itu terpulang kepada parti yang menyertai Gagasan Sejahtera untuk menilai kembali kedudukan mereka.

"Terpulang kepada Berjasa menilai diri dia sendiri," katanya.

Terdahulu, Presiden Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz mengumumkan untuk bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Tindakan parti dalam Gagasan Sejahtera itu bagaimanapun tidak dipersetujui Pas yang menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Gagasan Sejahtera merupakan gabungan politik yang diwujudkan pada 2016 dengan hasrat menjadi blok ketiga dalam senario politik tanah air.

Ia dianggotai Pas, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).