Polis Kelantan tidak kompromi anggota terlibat aktiviti penyeludupan

Hasanuddin (tengah) menyaksikan penyerahan tugas dari Zailal (kiri) kepada Zainuddin (kanan).
Hasanuddin (tengah) menyaksikan penyerahan tugas dari Zailal (kiri) kepada Zainuddin (kanan).
A
A
A

TANAH MERAH - Polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand jika mereka didapati terlibat dengan aktiviti rasuah melibatkan penyeludupan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setiap pegawai dan anggota sentiasa diingatkan jangan mudah terpedaya dan 'ternoda' dengan pujukan individu tertentu yang melakukan aktiviti tersebut.

"Setiap kali pertemuan, tidak kira di mana sahaja sama ada perjumpaan ke mesyuarat ke, saya memang sentiasa ingatkan pegawai-pegawai saya sebab mereka yang terlibat dengan aktiviti ini sentiasa mahu memperdaya dan mempengaruhi kita dengan pelbagai cara.

"Dalam erti kata lain, kami tidak akan beri muka kepada mana-mana pegawai, anggota dan anggota awam kami yang terlibat dengan penyeludupan, rasuah dan kesalahan lain.

"Kami tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib serta undang-undang jika mereka didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Tanah Merah di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Terdahulu, Hasanuddin menyaksikan penyerahan tugas Pemangku Ketua Polis Tanah Merah, Asistan Superintendan Mohd Zailal Wasubri kepada Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff yang kini menjawat jawatan Ketua Polis Tanah Merah.

Zainuddin menggantikan Deputi Superintendan Suzaimi Mohammad yang bertukar ke IPD Kuala Krai.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang mendedahkan terdapat beribu klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan sempadan negara akibat rasuah sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat oleh mana-mana pihak terhadap anggotanya dan berharap rekod 'bersih' tersebut akan berkekalan terutamanya melibatkan kes penyeludupan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai keselamatan semasa musim banjir, Hasanuddin berkata, pihaknya akan sentiasa membuat rondaan di kawasan perumahan dan sebagainya bagi memastikan tiada kes kecurian berlaku semasa mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara.

"Kami akan pastikan rondaan dibuat setiap masa, mungkin setengah jam sekali atau berdasar kemampuan kami, jika kami tidak cukup anggota mungkin kami akan meminta bantuan dari Bukit Aman.

"Ini tanggungjawab kami untuk menjaga harta benda dan keselamatan nyawa masyarakat. Insya-ALLAH seramai 3,000 anggota bersedia untuk bertugas sepenuhnya jika berlakunya bencana banjir di negeri ini," katanya.