X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas rentung: Mayat ditemukan berhampiran tong gas

Anggota bomba mengangkat mayat pasangan suami isteri yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di Jelapang hari ini. - Foto JBPM
A
A

IPOH - Identiti kedua-dua mayat yang ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Jelapang di sini awal pagi tadi dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri.

Mangsa dikenali sebagai Kamal Mustafa dipercayai warga Mesir manakala isterinya, Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, pihaknya sedang menyiasat motif kejadian selepas menemui dua tong gas berhampiran mayat berkenaan.

Keadaan unit apartmen yang terbakar yang turut mengorbankan pasangan suami isteri di Taman Meru Impiana hari ini.
Keadaan unit apartmen yang terbakar yang turut mengorbankan pasangan suami isteri di Taman Meru Impiana hari ini.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui di ruang tamu dan di depan bilik air. Siasatan awal mendapati terdapat dua tong gas di ruang tamu dan pintu masuk bilik air.

“Terdapat kesan letupan sebelum berlaku kebakaran yang memusnahkan 90 peratus rumah serta mengorbankan mangsa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kereta mangsa jenis Proton Suprima turut ditemui terbakar di tepi jalan Hala Jati Meru 12, kira-kira 500 meter dari kediaman mangsa.

Kereta milik mangsa ditemui terbakar kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.
Kereta milik mangsa ditemui terbakar kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan terdapat pergerakan mangsa yang memandu kereta berkenaan kira-kira jam 11 malam.

“Mangsa turut membawa dua tong dipercayai bahan bakar ketika memasuki kawasan kediaman,” katanya.

Asmadi berkata, siasatan dilakukan dari pelbagai sudut dan kes akan diklasifikasikan selepas menerima hasil bedah siasat daripada Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Terdahulu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.40 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dan Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan dua unit apartmen yang dijadikan satu kediaman dan mangsa ditemui tertiarap di bahagian ruang tamu serta koridor dalam rumah berkenaan dipercayai cuba menyelamatkan diri

"Kita dapat mengawal kebakaran pada jam 4.15 pagi dan operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Bercham dan Pekan Baharu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Apartmen didiami terbakar, dua warga emas rentung


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!