Ahli DPMM diminta fokus, ketepi isu dalaman

Ahli DPMM Pahang yang hadir pada Mesyuarat Agung DPMM Pahang Kali ke-44 di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.
Ahli DPMM Pahang yang hadir pada Mesyuarat Agung DPMM Pahang Kali ke-44 di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang diminta memberi fokus terhadap sasaran merapatkan jurang ekonomi Melayu berbanding memberi tumpuan ke arah konflik dalaman.

Setiausaha Agung DPMM, Amirhamzah Karim berkata, mana-mana ahli yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan pimpinan terkini DPMM Pahang boleh mengajukan rayuan kepada Majlis Eksekutif DPMM.

Menurutnya, sebarang rayuan dan ketidakpuasan hati perlu dilaksanakan mengikut perlembagaan agar tidak menjejaskan fungsi asal pertubuhan itu.

"Kita memahami bahawa perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli itu ada namun kita menasihati ikutilah saluran yang betul. Jika ada yang tidak puas hati dengan tindakan, buat rayuan. Lebih baik kita menumpukan fokus ke arah memperkasakan ekonomi Melayu," katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Agung DPMM Pahang Kali ke-44 di Hotel Sri Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ahli yang menghantar memorandum mempertikai kredibiliti Yang Dipertua DPMM Pahang, Yusri Yusuf pada mesyuarat tersebut sebentar tadi.

Amirhamzah berkata, krisis kepimpinan DPMM Pahang boleh dianggap selesai dengan penganjuran mesyuarat agung ke-44 kali ini dengan Yusri Yusof kekal sebagai Yang Dipertua DPMM Negeri Pahang.

"Namun begitu, setiap aduan, memorandum mahupun rayuan ahli akan tetap diambil perhatian. Esok majlis akan ada mesyuarat dan kita akan mendapatkan laporan selanjutnya (berhubung memorandum)," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif DPMM mengesahkan setakat ini tiada sebarang rayuan dikemukakan mana-mana ahli Pahang yang dikenakan tindakan kerana menghadiri Mesyuarat Agung DPMM Pahang ke-44 secara tidak sah pada 13 April 2019.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu media melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September lalu merekodkan persetujuan DPMM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bahawa Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, memutuskan bahawa Mesyuarat Agung Luar Biasa DPMM pada 22 November 2018 adalah sah.

Menurutnya, ini bermakna mana-mana mesyuarat agung yang dilaksanakan selepas tarikh itu (sehingga keputusan mahkamah pada 5 September) adalah tidak sah dan terbatal termasuk Mesyuarat Agung DPMM Pahang pada 13 April lalu.

Dalam pada itu, slah seorang ahli yang dikenakan tindakan Datuk Abd Rahman Daud berkata, beliau mewakili 63 orang ahli dewan menyerahkan memorandum itu bagi memohon penjelasan dan tindakan segera dari pihak Majlis Eksekutif DPMM atas tindakan perintah tunjuk sebab oleh DPMM Cawangan Pahang terhadap mereka.

Abd Rahman berkata, mereka juga memohon Majlis Eksekutif DPMM menyiasat mengapa 14 daripada mereka turut dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama sembilan tahun.

Seorang lagi yang turut dikenakan tindakan ialah Timbalan Yang Dipertua DPMM Pahang (sesi 2020), Wan Alhamdulillah Wan Abd Rahman turut mempertikai pelantikan beberapa ahli lain yang tidak mematuhi Fasal 17.4.1.3 yang mengkehendaki Yang Dipertua Negeri melantik setelah berunding dahulu dengan ahli jawatankuasa DPMM negeri tersebut.

Siti Salmah Ibrahim pula menyuarakan kekecewaan sehingga meletakkan surat berhenti sebagai ahli.