PDRM umum tujuh pertukaran pegawai kanan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarulzaman Maarof ​​​​​​merupakan antara tujuh pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, Kamarulzaman akan memegang jawatan Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am, JKDNKA Pahang dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Timbalan Ketua Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Asisten Komisioner Noor Hisham Nordin pula akan menggantikan tempat Kamarulzaman, manakala tempat Noor Hisham pula bakal diisi Penolong Ketua Staf Operasi Pasukan khas ESSCom, Superintendan Hamzah Hashim yang akan memangku pangkat Asisten Komisioner Polis.

Dalam pada itu, seorang lagi pegawai turut memangku pangkat Senior Asisten Komisioner iaitu Penolong Pengarah Perjawatan (PRP dan Konstabel), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Asri Md Akhir yang akan memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) bahagian berkenaan.

Mohd Asri menggantikan Senior Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif yang bakal menjawat Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur.

Tempat Mohd Asri pula akan diisi Superintendan Koordinasi Perhubungan Sekolah/Insititut Pengajian Tinggi, Bahagian Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Superintendan Muhammad Idzam Jaafar dengan memangku pangkat Asisten Komisioner Polis.

Selain itu, Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor Deputi Superintendan (DSP) Agus Salim Mohd Alias akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sabak Bernam dengan memangku pangkat Superintendan.

Kesemua pertukaran itu berkuat kuasa 23 Disember 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan: