X

Kindly register in order to view this article
!

Pengunjung buang sampah di Teluk Cempedak dikompaun

Individu yang didapati membuang sampah merata-rata di Teluk Cempedak dikenakan kompaun.
A
A

KUANTAN - Sebanyak 39 kompaun membabitkan jumlah RM3,900 dikeluarkan terhadap individu yang membuang sampah merata-rata di Teluk Cempedak.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Nor Kamawati Kamal berkata, saman tersebut dikeluarkan ketika Operasi Anti Litter yang dijalankan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi tempoh Oktober sehingga November tahun ini.

"Setakat ini 20 daripada kompaun tersebut sudah dijelaskan manakala bakinya masih tertunggak.

"Tindakan dibuat mengikut Seksyen 47(1)Akta 133 Akta Kerajaan Tempatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya akan memperluaskan lokasi operasi di semua tempat tumpuan di daerah itu dari semasa ke semasa.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi memastikan kebersihan Pahang khususnya daerah Kuantan berada pada tahap maksimum lebih-lebih lagi sempena kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Kita nak pastikan Pahang sentiasa dalam keadaan yang bersih terutamanya kawasan tumpuan pelancong. Kita juga mahu mengubah mentaliti masyarakat agar seiring dengan status bandaraya yang akan diperoleh daerah Kuantan tidak lama lagi.

"Kita juga akan menggandakan libat urus agar masyarakat sedar tentang kepentingan menjaga kebersihan. Kita berharap kalau boleh masyarakat tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kebersihan ini kepada pekerja-pekerja pembersihan semata-mata," katanya.

Sharudin berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan menjaga kebersihan dengan cara menegur individu yang meninggalkan sampah di sesuatu lokasi.