Amanah Perak sedia ambil tindakan kepada 'pengkhianat PH'

Asmuni (duduk, dua dari kiri) pada sidang media bersama Exco dan wakil rakyat PH di Ipoh semalam.
Asmuni (duduk, dua dari kiri) pada sidang media bersama Exco dan wakil rakyat PH di Ipoh semalam.
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang cuba mengkhianati pendekatan inklusif yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, sikap inklusif kerajaan PH perlu dilihat sebagai usaha reformasi sistem pendemokrasian negara yang telah dirosakkan rejim sebelum ini.

Beliau berkata, pendekatan tersebut perlu berlaku secara bersama dan seiring antara ahli politik dengan kakitangan kerajaan, peniaga serta rakyat biasa.

"Amanah Perak akan bersikap proaktif jika terdapat usaha daripada mana-mana pihak yang cuba mengkhianat

"Ahli-ahli dan pihak lain yang berada di sekeliling kita jangan ada yang berlagak 'tuan penasihat 25 peratus', saudagar minyak unta atau siapa jua watak yang boleh mengulangi kebodohan dan ketamakan kepimpinan UMNO yang tenggelam kerana kuasa di tangan mereka," katanya ketika berucap pada Konvensyen Amanah Perak yang berlangsung di Hotel Impiana di sini hari ini.

Asmuni turut mengingatkan ahli Amanah bahawa watak-watak seperti itu akan sentiasa mencari jalan untuk berada dalam kalangan mereka.

Malah katanya, golongan seperti itu sanggup menukar jubah dan topi demi survival kehidupan mereka.

Sementara itu, beliau berkata, jawatan politik harus digunakan untuk memperkukuhkan PH khususnya Amanah dan bukan digunakan untuk membesarkan kantung sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Saranan saya kepada semua agar terus memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kebaikan rakyat.

"Manfaatkanlah jawatan-jawatan lantikan politik itu sebaik mungkin dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik sebagai persiapan menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)," katanya.

Dalam pada itu, Asmuni berkata, saf kepimpinan parti kali ini bakal menerajui parti bagi menghadapi PRU15.

Menurutnya, persiapan menghadapi PRU15 perlu bermula seawal mungkin berpaksikan 6M iaitu Man (tenaga), Machinery (jentera), Measurement (ukuran), Money (kewangan) dan Malay (Melayu).

Katanya, hubungan sesama parti komponen juga harus kekal harmoni hingga tiada ruang yang boleh meruntuhkan perpaduan keempat-empat parti.