[VIDEO] Sorok dalam belukar!

Norzaid (kiri) menunjukkan sebahagian daripada kura-kura besar yang berjaya dirampas.
Norzaid (kiri) menunjukkan sebahagian daripada kura-kura besar yang berjaya dirampas.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMASKINI] Tindakan sindiket penyeludup haiwan eksotik yang menjadikan sebuah belukar di Kampung Air Tawar di sini sebagai lokasi penyembunyian dan pengumpulan haiwan berkenaan untuk pasaran Vietnam berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali semalam.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, dalam serbuan jam 6 petang itu, PPM Wilayah Tiga Tok Bali turut menahan empat lelaki serta merampas 100 ekor musang, 220 ekor kura-kura besar, 253 ekor kura-kura kecil, 43 ekor labi-labi dan 26 ekor biawak.

"Sebuah kereta Proton Saga Aeroback serta alat penimbang turut dirampas dalam serbuan itu.

“Nilai keseluruhan rampasan itu termasuk alat penimbang dan kereta berjumlah RM241,840,” katanya pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Tiga Tok Bali dekat sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama 10 hari untuk melakukan intipan dan siasatan sebelum serbuan dilakukan.

Norzaid (kiri) bersama pegawainya menunjukkan musang yang dirampas.
Norzaid (kiri) bersama pegawainya menunjukkan musang yang dirampas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua haiwan eksotik itu dikumpulkan di sebuah belukar sebelum diseludup ke Vietnam menggunakan jalan laut.

Katanya, permintaan tinggi terhadap haiwan itu menjadi penyumbang kepada aktiviti penyeludupan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan yang dijalankan, kita dapati haiwan tersebut dibawa masuk dari beberapa kawasan di sini serta negeri jiran seperti Pahang dan Perak sebelum diseludup ke Vietnam.

“Kesemua suspek yang terdiri dari seorang warga tempatan yang bertindak sebagai ketua sindiket dan tiga warga Vietnam berumur antara 18 hingga 40 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Norzaid berkata, kesemua haiwan yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berkenaan merupakan tangkapan kedua dan terbesar untuk tahun ini.

"Kes disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Anggota PPM Wilayah Tiga Tok Bali menunjukkan biawak yang dirampas.
Anggota PPM Wilayah Tiga Tok Bali menunjukkan biawak yang dirampas.