'Graduan perlu jadi duta Islam dalam mencari reda Ilahi'

Tunku Azizah berkenan berangkat pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-35 hari ini. - Foto Bernama
Tunku Azizah berkenan berangkat pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-35 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu menjadi duta kepada integrasi, Islamisasi, pengantarabangsaan dan kecemerlangan menyeluruh dalam mencari keredaan Ilahi, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM juga menasihati para graduan agar menggunakan ilmu yang mereka perolehi daripada universiti itu untuk menjadikan dunia ini lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

"Keadaan ummah memerlukan, lebih daripada biasa, bahawa kita bangkit dengan kebijaksanaan, keyakinan, keberanian dan tekad. Apa pun cabaran, kita tidak boleh, dan tidak harus berputus asa, kerana itu akan menafikan intipati Islam yang menjadi Raḥmatan Lil-'Alamin atau rahmat kepada sekalian alam," titah baginda.

Baginda bertitah kepada 577 graduan sebelum permulaan majlis penganugerahan pertama pada majlis konvokesyen IIUM ke-35 di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Permaisuri Agong dimasyhur sebagai Canselor UIAM

Tunku Azizah yang juga wanita pertama yang diisytiharkan Ketua Perlembagaan UIAM menyeru graduan supaya mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran termasuk sosial, budaya, politik, ekonomi, rohani dan peradaban.

Baginda percaya, UIAM telah menyediakan graduannya untuk menghadapi cabaran dengan kebijaksanaan, keyakinan, keberanian dan tekad.

"Keberanian bukan tentang memanjat gunung paling tinggi. Ini adalah tentang menjadi diri anda sebenar. Ia adalah mengenai berpegang teguh kepada iman kita dengan kekuatan dan keyakinan. Ini adalah tentang memenuhi 'amanah' Ilahi.

"Dengan konvokesyen ini, anda berdiri di ambang yang menandakan permulaan yang baharu, satu perjalanan baharu. Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat. Belajar daripada orang-orang di sekeliling anda. Belajar daripada keadaan baharu anda. Belajar daripada sejarah dan belajar daripada kehidupan," titah baginda.

Tunku Azizah juga bertitah kepada para graduan bahawa mereka telah menamatkan pengajian dari sebuah institusi yang berbangga memanggil dirinya sebagai 'Taman Ilmu dan Kebaikan' di mana UIAM melambangkan sebuah taman, di mana ilmu dan kebaikan itu tumbuh dan makmur.

Artikel Berkaitan:

"Anda telah menyumbang dengan ketara dalam membina taman ini. Anda telah membantu dalam memastikan kebun itu menjadi yang mampan, dengan bukan sahaja sebagai penerima ilmu wahyu dan sains manusia tetapi juga pencipta bersama pengetahuan bersepadu dan menjadi pembawa serta penggerak kepada pengetahuan, sains dan kebaikan Islam itu sendiri," titah baginda.

Baginda juga berbangga dengan usaha-usaha UIAM dalam mengutamakan ‘keperluan khusus’ pelajar dan kakitangan serta usaha menjangkau mereka yang memerlukan pendidikan.

"Ini sesungguhnya merupakan sebahagian daripada 'rahmah' atau ihsan dalam usaha kita untuk menyebarkan Rahmatan Lil Alamin. Saya berbangga untuk mengumumkan kepada anda semua, bahawa UIAM sekali lagi 'Memimpin Jalan' bagi umat Muslim untuk mencerahkan masa depan," titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah, yang tiba di majlis konvokesyen bersama puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah disambut oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM, Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak.

Tahun ini seramai 5,445 graduan akan menerima skrol di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah mengikut bidang pengajian masing-masing menerusi lapan sidang selama empat hari bermula hari ini.

Pada sidang itu, Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan 10 anugerah utama kepada graduan, antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah BUDI dan Anugerah Rektor.

Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan Anugerah Merit Ibn Khaldun 2019 kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) sebagai menghargai sumbangan Makna atas usaha serta kepakaran menjaga kebajikan pesakit kanser. - Bernama