'PKR Sarawak perlu siap sedia, pastikan PH menang '

Anwar- FOTO: BERNAMA
Anwar- FOTO: BERNAMA
A
A
A

MIRI - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak diarah supaya bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan mengukuhkan kekuatan parti itu bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon PKR pada PRN itu selain memperkukuhkan kerjasama dalam kerajaan PH sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.

"Beri tumpuan kepada PRN12 untuk kemenangan PKR dan PH," katanya pada majlis perasmian Konvensyen PKR Sarawak di sini hari ini.

Anwar berkata, antara yang perlu dibuat segera oleh PKR Sarawak ialah mengadakan mesyuarat melibatkan semua cabang PKR di negeri ini bagi membincangkan persediaan PRN12 termasuk proses pemilihan calon-calon.

Beliau mahu kesemua cabang diberi peluang untuk memberikan pendapat serta cadangan dan bukan didominasi oleh sesetengah pihak sahaja.

Menurutnya, semua pandangan akan diambil kira oleh peringkat kepimpinan Pusat sebelum membuat keputusan berdasarkan keputusan dibuat oleh kepimpinan negeri.

"PKR adalah parti demokratik membuat keputusan berdasarkan majoriti," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian konvensyen itu, Anwar menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan mana-mana pihak berkaitan isu dalaman parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya boleh bincang dengan siapa-siapa tak ada masalahnya," katanya sambil menambah semua ahli parti mesti mematuhi perlembagaan parti.

Turut hadir pada majlis perasmian konvensyen yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan itu ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Bernama