Rombak Kabinet: Terpulang pada Tun M, kata Salahuddin

Salahuddin menyempurnakan perasmian Konvensyen Amanah Perak di Hotel Impiana di sini hari ini.
Salahuddin menyempurnakan perasmian Konvensyen Amanah Perak di Hotel Impiana di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan sepenuhnya kedudukan pimpinan mereka di dalam Kabinet kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jika rombakan dibuat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penilaian prestasi menteri-menteri Kabinet bergantung sepenuhnya kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, malah kuasa melantik dan menggugurkan menteri Kabinet merupakan hak mutlak Ahli Parlimen Langkawi itu.

"Tidak ada seorang pun di kalangan kami ini boleh mendakwa bahawa kitalah yang paling bagus ataupun sebaliknya.

"Apabila kita diamanahkan untuk memegang jawatan ini, saya sendiri dan rakan-rakan menteri daripada Amanah telah cuba berbuat yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Perak di Hotel Impiana di sini hari ini.

Hadir sama pada konvensyen itu, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet berikutan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Sementara itu Salahuddin berkata, kesemua menteri Kabinet yang dilantik telah bekerja bersungguh-sungguh mentadbir negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita belajar daripada kesilapan. Kita telah berjaya untuk membuktikan bahawa kita mampu menggalas amanah ini.

"Jadi saya serah sepenuhnya kepada Tun M untuk menilai kerana beliaulah satu-satunya faktor yang akan menentukan sama ada berlakunya rombakan itu ataupun tidak," katanya.