Dua lelaki ditahan bersama dadah RM4,000

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran menahan dua lelaki kerana memiliki 60.16 gram dadah jenis syabu bernilai RM4,000 dan selaras senapang bakakuk buatan sendiri dalam Operasi Khazanah Khas di sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dua lelaki berusia 30-an dan seorang lagi pendatang tanpa izin dipercayai warga Filipina berumur 20-an ditahan di perkampungan air paya bakau di Kampung Melayu Bakau di sini kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

"Dadah dijumpai dalam 85 paket plastik kecil bersalut kertas aluminium. Kita juga merampas empat biji peluru penabur, alat penimbang digital, empat gulung kertas aluminium dan sebuah motosikal milik seorang lagi lelaki dipercayai penagih dadah yang melarikan diri semasa serbuan.

"Turut dirampas ialah sebilah parang dan wang tunai pelbagai jenis iaitu 290,000 rupiah, lima yuan, 100 peso, 5 dolar New Zealand, 20 dolar Hong Kong dan RM2," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua yang ditahan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sandakan untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: