Tiada tanah kerajaan negeri dijual: MB Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Tiada tanah milik kerajaan negeri yang dijual setakat ini, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tegasnya, tanah milik kerajaan negeri hanya boleh dilupuskan kepada individu dan badan tertentu secara pemberimilikan, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau permit.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini bagi menjawab soalan Woo Chee Wan (PH-Mentakab) yang bertanya jumlah tanah milik kerajaan yang telah dijual.

Menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Ketari), Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri ada memberikan tanah gantian kepada petani tanaman halia di Hutan Simpan Bukit Tinggi yang terjejas akibat pembangunan projek eko-pelancongan di kawasan itu.

"Kawasan gantian seluas kira-kira 327 hektar di kompartmen 99, 101, 102, dan 103 Hutan Simpan Bukit Tinggi itu diberikan kerana kerajaan prihatin dengan apa yang berlaku kepada mereka kerana kita memahami pendapatan mereka terjejas.

"Sesi penerangan kepada pemegang permit diadakan pada 16 Mei lepas dengan proses pemindahan dijangka bermula tahun hadapan. Kita harap proses ini berlangsung dengan baik dan diterima semua pemegang permit," katanya.

Wan Rosdy juga memaklumkan bahawa tapak gantian itu mempunyai kelebihan berbanding tapak lama seperti sungai, berdekatan tempat tinggal pekebun dan mempunyai suhu sesuai untuk tanaman halia.

Beliau memaklumkan pada 2007, kerajaan negeri juga telah mengeluarkan Permit Penggunaan Penanaman Halia kepada 231 pekebun kecil halia pada 2007 melibatkan kawasan seluas 289 hektar di kompartmen 104,105 dan 106 Hutan Simpan Bukit Tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Permit ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan pencerobohan pekebun haram di kawasan Hutan Simpan Lentang berhampiran Janda Baik dapat dibanteras dan permit ini perlu diperbaharui setiap tahun," katanya. - Bernama