Mourinho boleh tajamkan kembali taji Spurs

Mourinho
Mourinho
A
A
A

PELANTIKAN Jose Mourinho sebagai pengendali Tottenham Hotspur disifatkan langkah terbaik dalam memacu semula kebangkitan kelab berkenaan setelah mengharungi permulaan hambar saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Legenda The Spurs, Paul Gascoigne berkata, pelantikan bekas pengendali Chelsea, Real Madrid dan Manchester United itu menggantikan Mauricio Pochettino sememangnya tepat pada masanya ketika prestasi kelab utara London berada dalam keadaan merudum.

"Mourinho sememangnya pilihan terbaik sebagai pengganti Pochettino, kerana beliau mempunyai rekod yang cemerlang menghadirkan trofi ketika mengendalikan beberapa kelab utama Inggeris sebelum ini.

"Mourinho merupakan pengurus yang luar biasa, biarpun beliau tidak setanding Sir Alex Ferguson dan Sir Bobby Robson, namun Mourinho tetap memberi impak positif kepada setiap kelab kendaliannya sebelum ini," katanya.

Tambah Gascoigne, beliau menyakini pengendali dari Portugal berusia 56 tahun itu yang mempunyai sentuhan magis bersama FC Porto dan Inter Milan juga mampu membawa kelab yang kini berkedudukan tangga ke-14 liga kembali mencabar kedudukan terbaik EPL.

"Dengan pengalaman Mourinho, saya percaya Tottenham sudah menemui tonik terbaik untuk kembali ke landasan sebenar mereka seperti sebelum ini.

"Dan saya percaya dengan kualiti dalam kalangan pemain-pemain Tottenham yang sedia ada sekarang, Mourinho tidak memerlukan banyak masa mengembalikan semula sentuhan kemenangan Spurs," katanya yang percaya kejuaraan dimenangi pengendali sebelum ini akan menjadi motivasi kepada pemain-pemain Tottenham.

The Spurs merekrut Mourinho dengan kontrak sehingga penghujung musim 2022/23.

Artikel Berkaitan: