X

Kindly register in order to view this article
!

809 anggota kumpulan pengganas ditahan sejak 1990

Ayob Khan
A
A

SHAH ALAM - Seramai 809 orang anggota kumpulan pengganas ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak penghujung 1990-an sehingga sekarang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia melibatkan kira-kira tujuh kumpulan pengganas antaranya Jemaah Islamiah, Darul Islam, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Daesh.

"Bagi LTTE kita telah menangkap anggota kumpulan ini seramai 36 orang sejak 2009 lagi. Cuma ia menjadi isu sejak akhir-akhir ini.

"Sementara itu sejak 2013 sehingga sekarang tangkapan bagi anggota kumpulan Daesh ialah seramai 525 orang. Jumlah keseluruhan bagi anggota kumpulan pengganas ditahan sejak penghujung 1990-an sehingga sekarang ialah 809 orang melibatkan rakyat Malaysia dan asing," katanya pada Sinar Live di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Ayob berkata, penglibatan rakyat negara ini dengan kumpulan militan dan pengganas bukan perkara baharu kerana ia telah bermula sejak 1960-an lagi apabila wujudnya golongan ekstremis.

"Kita perlu tahu, wujud tiga fasa. Pertama golongan ekstremis di mana mereka ini mempunyai pandangan ekstrem tetapi mereka tidak terjebak kepada aksi menggunakan senjata.

"Kedua, ialah militan. Mereka ini mempunyai faham ekstremis dan menggunakan kekerasan serta senjata untuk mencapai matlamat mereka tetapi sasaran kebiasaan kepada musuh sama ada kerajaan, tentera atau polis.

"Fasa ketiga pula ialah pengganas di mana ia merupakan gabungan antara ketiga-tiga fasa dan sasaran mereka adalah orang awam kerana mana-mana pihak tidak sealiran dianggap musuh, boleh dibunuh serta darah mereka halal. Dalam konteks keganasan ini banyak kumpulan baharu yang suka melabel pihak lain yang tidak selari dengan mereka sebagai golongan kafir, murtad yang darah mereka halal dan harta mereka boleh dirampas. Itu perbezaan antara ekstremis, militan dan pengganas," katanya.

Menurutnya, sejak 2013 sehingga sekarang mereka yang terlibat dengan aktiviti keganasan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"SOSMA ini satu tangkapan terbuka dan dibawa untuk dibicarakan. Daripada sini rakyat di negara ini baru sedar bahawa ada banyak elemen perlu diambil tindakan.

"Kita tidak boleh benarkan mereka (anggota kumpulan pengganas) beroperasi kerana mengganggu keselamatan negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!