Petugas media jadi sasaran baharu di Palestin

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Malaysia dan dunia meneruskan tekanan bagi mengutuk tindakan rejim Zionis Israel terhadap warga Pelestin dan terkini petugas media yang membuat liputan.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kekejaman rejim zionis mengakibatkan jurugambar Palestin, Mu’ath Armaneth buta mata kiri akibat ditembak tentera Israel ketika membuat liputan.

Beliau berkata, satu kempen global menggunakan tanda pagar #MuathEye dan #MataMuaz juga digerakkan sebagai simbol solidariti kepada jurugambar itu.

"Kekejaman tentera rejim Zionis Israel ini secara jelas adalah pencabulan ke atas prinsip hak asasi manusia sejagat.

"Atas dasar ini, ABIM menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa meneruskan tekanan mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan Israel selain mahu masyarakat dunia menggerakkan kempen advokasi terhadap kepayahan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Faisal berkata, ABIM turut menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengheret pihak Israel ke muka pengadilan demi menegakkan hak rakyat serta mengelakkan tindakan kejam itu berulang.

"ABIM juga berharap kerajaan Malaysia tetap berperanan aktif memimpin tekanan masyarakat antarabangsa ke atas Israel kerana semberono melakukan kekejaman semakin berleluasa," katanya.

Pada 16 November lalu, Armaneth dilaporkan hilang penglihatan pada mata kirinya selepas kecederaan parah akibat peluru logam bersalut getah yang dilepaskan tentera Zionis di bandar Surif, Hebron.

Artikel Berkaitan:

Kejadian berlaku ketika Armaneth sedang membuat liputan protes berkaitan penyitaan tanah oleh pihak berkuasa Israel yang memihak kepada pembinaan penempatan.

Armaneth yang ditembak di bahagian mata dikejarkan ke hospital di Hebron namun doktor gagal menyelamatkan matanya.