Tuduhan tak benar, lima syarikat operasi berasingan

Tular klip video perbahasan oleh ADUN Temengor, Salbiah Mohamed di media sosial.
Tular klip video perbahasan oleh ADUN Temengor, Salbiah Mohamed di media sosial.
A
A
A

IPOH - Lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Perak yang dibangkitkan wakil rakyat pembangkang sepertimana video tular semalam beroperasi secara berasingan dan mempunyai keupayaan menarik pelaburan luar.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How berkata, kelima-lima syarikat itu juga merupakan perintis GBS yang membabitkan pelaburan keseluruhan RM486 juta.

"Inisiatif GBS ini dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Adakah pihak pembangkang mahu mempersoalkan kepakaran NCIA?,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Howard Lee ketika menjawab isu video tular.
Howard Lee ketika menjawab isu video tular.

Terdahulu, tular klip video perbahasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed di media sosial.

Video berdurasi lebih 3 minit itu menunjukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu mempersoalkan kredibiliti kelima-lima syarikat yang didakwa ditubuhkan dengan modal RM1 dan RM99 itu mampu membawa 1,500 peluang pekerjaan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Howard Lee berkata, Puncak Tegap Sdn Bhd beroperasi di Greentown Suria Ipoh; Volgo Sdn Bhd beroperasi di Greentown Business Centre Ipoh; Revoluteq Sdn Bhd beroperasi di Medan Ipoh Bestari manakala TecCSA Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd beroperasi di bangunan AEON Falim Ipoh.

Katanya, Volgo Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd mempunyai pelaburan masing-masing dengan pelabur dari China dan India yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi.

"Saya berasa terkilan dengan sikap pihak pembangkang yang seolah-olah memperlekehkan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di negeri ini.

“Puncak Tegap Sdn Bhd syarikat yang wujud pada 1993, modal berbayar RM40 juta.

“Kita kena faham apabila pelabur asing datang mewujudkan syarikat tujuan khas atau SPV untuk melabur di sini, sudah tentu ianya syarikat baharu.

“Walaupun terma Internet of Things (IoT) telah wujud sekian lama, namun teknologinya yang berjaya diterjemahkan melalui perkhidmatan perniagaan, ia masih baru. Teknologi yang baru, sudah tentu melibatkan syarikat yang baharu,” katanya.