Palestin puji undian PBB sokong hak Palestin untuk tentukan nasib sendiri

No Image Caption
A
A
A

RAMALLAH - Pihak Berkuasa Palestin memuji keputusan undian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi itu.

Undian itu dianggap sebagai respons segera kepada pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo kelmarin bahawa petempatan Israel di Tebing Barat tidak bercanggah atau melanggar undang-undang antarabangsa, kata Pihak Berkuasa Palestin.

Semasa sesi Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB, satu resolusi telah diterima pakai untuk menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu siaran akhbar.

Sejumlah 165 negara mengundi menyokong resolusi itu, lima menentang manakala sembilan berkecuali, menurut kenyataan tersebut.

Juga dalam kenyataan itu, Menteri Luar, Palestin Riyad al-Maliki menggesa negara-negara di dunia bersatu dan menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mengakhiri pendudukan Israel.

Menurutnya, undian memberangsangkan yang menyokong resolusi itu menunjukkan respons semula jadi komuniti antarabangsa terhadap pengiktirafan AS ke atas petempatan haram Israel di Tebing Barat.

"Diplomasi Palestin akan menjatuhkan semua percubaan untuk menjejaskan hak rakyat Palestin bagi menubuhkan sebuah negara bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya dan kembali ke kampung halaman mereka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: