X

Kindly register in order to view this article
!

Kes denggi di Pahang meningkat 174 peratus

Gambar hiasan
A
A

KUANTAN - Sebanyak 2,093 kes denggi dilaporkan di Pahang sepanjang Januari hingga 19 Oktober lalu berbanding 765 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia peningkatan drastik sebanyak 174 peratus pada tahun ini.

Menurutnya, daripada 2,093 kes yang dilaporkan sebanyak 67 kes dikelaskan sebagai kritikal dan telah mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Saya difahamkan sebanyak lapan kes kematian telah direkodkan berbanding hanya tiga kes bagi tempoh yang sama.

"Jadi peningkatan bilangan kematian membabitkan kes denggi pada tahun ini sebanyak lima kes," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum itu Rosli Abdul Jabar (Pas-Tanjung Lumpur) ingin tahu status terkini kes demam denggi di Pahang dan mahu wakil kerajaan negeri menyatakan secara lengkap daerah, kampung, taman atau kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan paling tinggi menerima kes denggi.

Syed Ibrahim berkata, terdapat 10 lokasi dilaporkan dan Taman Balok Pine, Kuantan merekod kes paling tinggi iaitu 32 kes diikuti Kuantan sebanyak 31 kes, Taman Pelindung Damai (31 kes) dan Taman Seri Mahkota Jaya Utara (27 kes).

Menurutnya, di Taman Temerloh Jaya, Temerloh pula sebanyak 25 kes, Taman Bukit Rangin, Kuantan (23 kes), Flat Kampung Pak Mahat, Kuantan (22 kes), Taman Gall Tengah, Raub dan Kampung Felda Bukit Goh, Kuantan (18 kes) manakala Felda Jengka 12, Jerantut dan Maran (14 kes).

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan Pahang sentiasa membantu menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pelbagai kempen dan aktiviti membanteras denggi di lokasi yang telah dikenal pasti itu.

Jelasnya, salah satu komponen terpenting dalam pencegahan penyakit denggi adalah melalui mobilisasi masyarakat untuk melaksanakan kegiatan gotong-royong untuk memusnahkan punca pembiakan nyamuk aedes.

"Sehingga kini, sebanyak 263 aktiviti gotong-royong bersepadu telah dijalankan di seluruh Pahang pada tahun ini," katanya.

Dalam persidangan itu, Syed Ibrahim menjelaskan sebanyak 139 operasi bersepadu telah dijalankan di peringkat daerah dan 16 operasi di peringkat Jabatan Kesihatan Pahang.

"Sehingga 19 Oktober lalu sebanyak 1,296 (kompaun) dan 800 pembersihan notis (Seksyen 8) telah dikeluarkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!