Jurujual kereta ditahan bersama dadah RM3.76 juta

Abdullah (tiga dari kanan) menunjukkan dadah dan jam tangan mewah yang dirampas daripada suspek yang menginap di sebuah hotel mewah di bandar Kota Bharu.
A
A

KOTA BHARU - Gaya hidup mewah seorang jurujual kereta terbongkar apabila dia ditahan polis bersama 59.99 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai RM3.76 juta.

Suspek berusia 42 tahun dari Rantau Panjang itu ditahan ketika menginap di sebuah hotel terkemuka di bandar Kota Bharu pada jam 11 pagi Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, hasil maklumat dan risikan polis dari Bahagian Narkotik Pasir Mas dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Lubok Jong Rantau Panjang pada jam 9 pagi hari sama.

“Dalam serbuan itu sepasang suami isteri berusia 36 tahun (pemasang pendingin hawa) dan 37 tahun (jurujual) ditahan bersama rampasan 97 pil kuda, 3.5 gram (g) syabu dan 11 pil ekstasi.

“Berpandukan mereka, polis menyerbu sebuah bilik di hotel berkenaan dan mengetuk pintu namun tidak dibuka. Polis terpaksa memecahkan pintu sebelum menemui seorang lelaki yang menyorok di dalam tandas,” katanya pada sidang akhbar di IPK di sini hari ini.

Tiga daripada enam kereta mewah yang dirampas daripada suspek disita untuk disiasatan lanjut.
Tiga daripada enam kereta mewah yang dirampas daripada suspek disita untuk disiasatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menjumpai satu kerajang berisi erimin 5 dalam poket seluar berjenama BGM Polo yang berada di atas katil.

“Mereka kemudiannya membawa polis ke sebuah kereta jenis Toyota Lexus NX200T berwarna kelabu yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah apartmen.

“Hasil pemeriksaan di dalam bonet belakang kereta menjumpai empat beg pakaian berzip mengandungi 186,000 pil kuda dianggarkan seberat 20.78kg dan syabu seberat anggaran 39.21kg keseluruhan bernilai RM3.76 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, suspek utama yang ditahan di hotel berkenaan dikatakan mengamalkan gaya hidup mewah dan dipercayai memiliki enam kereta Volkswagen Scirocco; BMW F30, Toyota Camry; Hilux; Honda Civic dan Perodua MyVi yang turut disita untuk siasatan.

“Polis juga merampas 10 jam tangan pelbagai jenama termasuk Casio, Edifice, Versace, Christian Berhard, Capri Watch, Carrda, Orieht,Tessot, Seiko dan dua Rado bernilai RM9,750.

“Selainnya turut dirampas empat beg silang berjenama Polo Cluv; Gucci dan dua Burberry bernilai RM4,900, gelang emas, tablet, telefon bimbit berjenama Samsung, dua geran tanah, wang tunai RM1,000 dan tujuh buku akaun simpanan keseluruhannya berjumlah RM540,850.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket pengedaran dadah yang memperoleh bekalan dari negara jiran untuk pasaran di Kuala Lumpur dan Johor Bharu.

“Polis masih menyiasat rangkaian sindiket yang dianggotai kesemua suspek dan menyelidik sama ada masih terdapat saki baki anggota kumpulan itu.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 18 sehingga 24 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.