X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Sharafuddin bimbang kes jenayah seksual meningkat di Selangor

Sultan Sharafuddin
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bimbang dan dukacita dengan masalah jenayah seksual yang semakin serius dan berleluasa dalam masyarakat di negeri ini dan mengesyorkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini berkata, kebimbangan itu dizahirkan baginda berikutan jumlah kes yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang melibatkan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram adalah tinggi.

"Baginda selaku pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor amat risau dan berdukacita dengan perkembangan kes-kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan implikasi yang negatif serta mampu meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat di Selangor.

"Baginda menyifatkan jenayah seksual yang semakin kritikal ini akan menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa yang terlibat yang sepatutnya dilindungi oleh pelaku. Jenayah seperti ini perlu dibanteras tanpa kompromi kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga yang terlibat," katanya.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut mengingatkan supaya semua rakyat menjauhkan diri daripada terlibat dengan jenayah seksual dan memelihara maruah ahli keluarga dengan baik selain memupuk sikap hormat terhadap kaum wanita serta kanak-kanak.

Katanya, Baginda turut menyeru agar semua pihak dapat meningkatkan usaha membendung jenayah seksual menerusi pendidikan, penguatkuasaan undang-undang serta menekankan nilai-nilai agama.

"Mengikut ajaran agama Islam, mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah seksual ini adalah berdosa besar, oleh itu baginda mengesyorkan supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual untuk memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhi perbuatan yang keji ini.

"Adalah menjadi hasrat dan harapan Sultan Selangor supaya rakyat dapat hidup aman tenteram dan bebas daripada ancaman jenayah seksual,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus