Kerani ditipu pinjaman tidak wujud

A
A

KUANTAN - Seorang kerani kerugian RM45,900 selepas terpedaya dengan tawaran iklan pinjaman wang tidak wujud di laman sosial Facebook semalam.

Mangsa berusia 31 tahun dari daerah ini diperdaya sindiket penipuan itu apabila diminta membuat pelbagai bayaran proses bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran pinjaman mudah itu selepas melayari laman sosial berkenaan awal November lalu.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki bernama Bryan melalui panggilan telefon sebelum menyerahkan salinan kad pengenalan dan penyata gaji bagi semakan kelayakan.

"Mangsa kemudiannya dimaklumkan layak untuk membuat pinjaman berjumlah RM10,000 namun perlu membuat beberapa bayaran sebelum wang pinjaman diserahkan.

"Mangsa telah membuat pelbagai bayaran termasuk wang proses, kos guaman, insurans, duti setem dan pembukaan akaun membabitkan jumlah keseluruhan RM45,900 dalam tempoh dua hari pada 16 hingga 18 November lalu," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat 19 transaksi pembayaran melalui dua akaun bank atas nama individu berbeza.

"Mangsa mula curiga apabila suspek terus meminta bayaran tambahan RM5,000 kononnya untuk bayaran cukai pendapatan dan dia enggan berbuat demikian.

"Selepas syak ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, kini pihaknya mengesan dua individu termasuk seorang wanita yang dikenalpasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.