PKPP tebang tanaman haram

Operasi tebang di tanah milik PKPP di Ladang Pamah Lebar Mukim Tras mendapat kerjasama Unit Penguatkuasa Negeri membabitkan 120 orang dari pelbagai agensi termasuk polis.
Operasi tebang di tanah milik PKPP di Ladang Pamah Lebar Mukim Tras mendapat kerjasama Unit Penguatkuasa Negeri membabitkan 120 orang dari pelbagai agensi termasuk polis.
A
A
A

RAUB - Pelbagai jenis tanaman yang ditanam kira-kira 50 peneroka haram di tanah ladang milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) di sini ditebang bermula hari ini sehingga Khamis ini.

Pengurus Besar PKPP, Shahrumzaki Hassan berkata, pencerobohan meliputi kawasan seluas 68.75 hektar dengan 54 hektar ditanam pokok durian pelbagai klon termasuk musang king, getah (12 hektar) dan pisang (2 hektar), selain terdapat bangunan yang dibina peneroka terlibat.

Menurutnya, buat masa ini penebangan melibatkan pokok getah dan pisang seluas 14 hektar.

"Tempoh lama telah diberikan kepada mereka kira-kira 20 tahun selepas PKPP diberikan hak milik tanah pada 1999 dan sehingga kini diketahui terdapat kira-kira 50 peneroka haram di kawasan ladang itu.

"PKPP telah mengalami kerugian berjumlah RM2.511 juta akibat tanah tidak dapat diusahakan dengan tanaman kelapa sawit. Selain itu kita terpaksa menanggung bayaran cukai tanah berjumlah RM34,408 sejak tahun 2000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui semasa operasi tebang di tanah milik PKPP di Ladang Pamah Lebar Mukim Tras di sini yang mendapat kerjasama Unit Penguatkuasa Negeri membabitkan 120 orang dari pelbagai agensi termasuk polis.

Shahrumzaki berkata, tindakan penebangan itu diambil selepas notis 14 hari melarang aktiviti dalam kawasan tanah milik PKPP dan mengeluarkan aset dari tanah terlibat dikeluarkan di media massa pada 13 September lalu.

Seorang pekerja menebang pokok yang ditanam secara haram di tanah milik PKPP.
Seorang pekerja menebang pokok yang ditanam secara haram di tanah milik PKPP.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kita telah meletak notis makluman Tanah Milik PKPP di kawasan yang diceroboh pada 9 November tahun lalu diikuti pembinaan longkang sempadan melalui kawasan durian namun ditangguhkan selepas mendapat protes daripada peneroka terlibat.

"Untuk tindakan tegas serta penyelesaian, PKKP telah membuat laporan di Balai Polis Tranum, Raub pada 4 September lalu," katanya.

Menurutnya, seramai 30 peneroka haram telah membuat rayuan namun ia sedang diperhalusi oleh PKPP.

"Mereka (peneroka) sanggup membayar dengan kadar RM500 seekar (0.4 hektar) setahun kepada PKPP tetapi kita akan membuat tawaran balas dengan kadar lebih tinggi mengambil kira kerugian dialami selama ini.

"Tindakan dan pertimbangan ini adalah berasaskan tanah ini bernilai tinggi untuk tanaman durian dengan impak keuntungan jauh lebih tinggi daripada kelapa sawit.

"Satu kerugian besar kepada PKPP sekiranya tanah ini terus diceroboh sedangkan hasil lumayan dinikmati pihak lain," katanya.

Ladang milik PKPP membabitkan keluasan 412.60 hektar dengan 246.07 hektar ditanam kelapa sawit.